Halaman

08 July 2010

Sukan Rakyat warnai Piala Monsun

Oleh: Esah Abdullah

Piala Monsun 2010 diteruskan dengan memberi ruang yang seluas-luasnya bagi pembabitan penduduk tempatan mengambil bahagian sama dalam beberapa aktiviti sukan rakyat yang disepadukan dengan kejohanan tersebut.


Kerajaan ingin melihat lebih ramai rakyat tempatan membabitkan diri dalam kejohanan Piala Monson yang akan berlangsung di Pulau Duyong Terengganu pada 30 November hingga 5 Disember tahun ini.

Beberapa acara seperti pertandingan perahu panjang, memancing serta beberapa sukan rakyat dijangka akan mewarnai sepanjang kejohanan yang berprestij itu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata penglibatan lebih ramai rakyat tempatan
dalam aktiviti sampingan yang disediakan mengambarkan peranan dan sokongan rakyat tempatan lebih meluas berbanding tahun sebelumnya.

“Acara ini mampu mewujudkan 1,722 pekerjaan baru dan kira-kira 600 pekerjaan sampingan diperlukan untuk membantu menyelaras dan melancarkan perjalanan program,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara T-Best dan Media Prima Berhad, di Wisma Darul Iman petang semalam (7 Julai).

Pengerusi T-Best, Tan Sri Sabaruddin Chik dan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A. Talib telah menandatangani perjanjian persefahaman sebagai penyiar rasmi sepanjang kejohanan berlangsung.

Dengan termenterainya penjanjian ini diyakini dapat meningkatkan liputan media cetak dan media elektronik serta kesedaran terhadap acara sukan terbesar yang mampu meletakkan nama Malaysia dan Terengganu di dalam peta dunia.

“Ramai penduduk tempatan berpeluang meneroka bidang perniagaan sendiri berkaitan perlumbaan malah ada yang membesarkan perniagaan kerana kebanjiran pelancong dan penonton dari luar negara,” katanya.

Katanya, pihak hotel juga mendapat faedah kerana sebelum penganjuran Piala Monsun, kadar penginapan bilik hotel kurang 15 peratus ketika musim tengkujuh tetapi kini kebanyak hotel hampir penuh dalam tempoh tersebut.

“Pemilihan Media Prima yang memiliki pakej media lengkap meliputi rangkaian televisyen TV3, NTV7 dan 8TV selain rangkain akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro serta radio HotFM, FlyFM dan OneFM akan menyemarakkan lagi liputan kejohanan itu nanti,” katanya.

Sementara itu, Datuk Ahmad A. Talib berkata pihaknya amat berbesar hati apabila dipilih menjadi rakan media kepada acara sukan bertaraf antarabangsa ini.

“TV9 akan memberi publisiti berkaitan Piala Monsun ini menerusi semua rangkaian stesen di bawah naungan media Prima termasuk rancangan terbitannya seperti Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9, Chopp dan pada masa sama akan membuka booth sepanjang acara perlumbaan nanti,” katanya.

Kejohanan edisi ke-6 tahun ini merupakan perlumbaan pusingan ke-10 dan terakhir siri WMRT yang diadakan di Pulau Duyong selepas siri pertama bermula di Perancis, Jerman, Kore Selatan, Portugal, Sweden, Switzerland, Denmark, Bermuda dan China.

TEGANUKITA

berita penuh

05 July 2010

MB cakna rakyat dan pendidikan

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said amat cakna rakyat termasuklah di bidang pendidikan masa kini yang berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau tidak putus-putus hadir sendiri majlis penyampaian e-Book dan bantuan pakaian sekolah menemui sendiri ibubapa dan pelajar sekaligus.


Khamis lalu (1 Julai), beliau berbuat demikian di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemasik di sebelah pagi dan di sebelah petang di kawasan beliau sendiri, Dun Kijal.

Dalam ucapan di kedua-dua tempat itu beliau berulang kali menyatakan hasratnya untuk melihat pelajar dari negeri ini mampu bersaing dalam pelbagai bidang profeisonal, termasuk kedoktoran (perubatan), kejuruteraan, penerbangan dan sebagainya.

Beliau berharap dengan perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri masa kini, lebih ramai pelajar Terengganu, termasuk pelajar perempuan sekalipun berjaya di dalam bidang-bidang berkenaan.

Bahkan katanya, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sanggup berbelanja untuk menghantar para pelajar ke luar negara sekalipun dalam keadaan kewangan yang terhad.
Selain dari hasil minyak, katanya kerajaan negeri cuba menambah pendapatan negeri dengan pelaburan penanaman kelapa sawit termasuk di Indonesia yang akan digunakan juga bagi keperluan pendidikan, termasuk menghantar pelajar ke luar negara.

“Kita sanggup menghantar anak Terengganu ke Russia, Mesir dan lain-lain lagi dan sedang memikirkan ke lain-lain tempat lagi untuk memberi peluang yang terbaik kepada pelajar Terengganu,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, pendekatannya dalam usaha pendidikan dan ilmu pengetahuan untuk pelajar Terengganu tanpa diskriminasi atau ‘memilih bulu’.

“Misalnya pemberian pinjaman, biasiswa, agihan e-Book, pakaian sekolah dan sebagainya tidak pernah mengambil kira politik kepartian keluarga mereka, “ katanya.

“Kita tidak pernah bertanya pelajar yang akan menerima e-Book atau pelajar yang cemerlang dan bantuan itu anak orang Umno atau Pas dan sebagainya,” tegasnya.
Namun begitu katanya, sebagai orang Islam khususnya, kita perlu bersyukur dan berterima kasih kerana ia adalah ajaran agama kita Yang Maha Suci.


TEGANUKITA

berita penuh

CADANG PENGERUSI PERHUBUNGAN DIKEMBALIKAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Suriati Ali

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan mencadangkan agar Pengerusi Perhubungan di lima negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang dikembalikan semula kepada pemimpin negeri berkenaan memandangkan situasi dalam parti semakin mantap dan pulih.


Beliau menyatakan demikian kepada media di Kemaman Terengganu selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kemaman semalam (3 Juai 2010).
Dato’ Dr. Ahmad Zahid pada masa ini diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang.

Manakala Umno Selangor dipengerusikan sendiri oleh Presiden parti, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak, Wilayah Persekutuan (Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yasin) Kedah (Dato’ Seri Mohd.Shafie Afdal) dan Terengganu (Datuk Seri Hishamudin Tun Hussien).

Menurut Dato’ Seri Dr.Zahid beliau dan rakan-rakan lain yang ditugaskan mempengerusikan Umno di kelima-lima negeri itu akan mengemukakan usul itu kepada Presiden Umno Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yasin.

“Bahkan secara tidak rasminya pihak kami telah berbincang mengenai penyerahan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno itu, tetapi secara rasmi belum lagi,” katanya di Kemaman.

Perkara itu kemungkinan mengambil masa sedikit, katanya mengulas mengenai perkara tersebut.

Berdasarkan keadaan sekarang Dato’ Seri Dr.Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan Malaysia berkata, beliau amat yakin pemimpin Umno di negeri terbabit berupaya menyatukan kepimpinan di semua peringkat, termasuk Terengganu.

Dalam perkara lain, beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan Umno Malaysia berkat, modul latihan Umno akan menggunakan pendekatan baru bagi menerapkan kekuatan mental dan fizikal ke arah menghasilkan anggota yang mantap terutama dalam menghadapi serangan pembangkang.

Katanya kita juga (Umno) bukan sekadar bertindak mempertahankan serangan, tetapi perlu lebih ‘offensive’ yakni menyerang, barulah kita akan berjaya sepenuhnya.

TEGANUKITA

berita penuh