Halaman

22 August 2010

Kurniaan Bantuan Aidilfitri

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan bantuan kepada fakir miskin dan pelajar dari keluarga miskin di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Foto Oleh : Zulkipli bin CW. Putera

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah berkenan mengurniakan bantuan kepada fakir miskin dan pelajar dari keluarga miskin di negeri ini sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.



Tuanku Nur Zahirah turut berkenan mengurniakan bantuan kepada mereka yang terbabit.

Pengurniaan bantuan-bantuan itu yang membabitkan 120 orang fakir-miskin dan 210 pelajar dari keluarga miskin adalah merupakan tradisi Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM)sejak 2006 lagi.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mengurniakannya kepada penerima lelaki, manakala Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong mengurniakan kepada penerima perempuan.


Rakyat gembira menerima bantuan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri hadir sama di majlis berkenaan.

YDSM yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin memperuntukkan RM80,000 bagi tujuan bantuan-bantuan itu.

Rakyat jelata yang menerima kurniaan itu menjunjung kasih di atas kurniaan berkenan .


TEGANUKITA

Agong Dan Permaisuri Agong Sampaikan Bantuan Kepada Fakir Miskin

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah hari ini berkenan mengurniakan bantuan kepada fakir miskin dan pelajar sekolah sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengurniaan bantuan daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu melibatkan 120 orang fakir miskin dan 210 pelajar sekolah daripada keluarga miskin dari seluruh negeri Terengganu.

Tuanku Mizan yang juga Pengerusi YDSM menyampaikan bantuan kepada pelajar berkenaan dan penerima lelaki manakala Tuanku Nur Zahirah menyampaikan bantuan kepada penerima wanita.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut hadir pada majlis itu. Program amal YDSM bermula pada 2006 dan untuk program bantuan hari ini YDSM memperuntukkan sebanyak RM80,000.

Sementara itu seorang daripada penerima, Yusof Mat Zain, 80, dari Kampung Buluh, Hulu Terengganu ketika ditemui pemberita menyatakan rasa syukur di atas bantuan yang diberikan itu.

"Saya sangat gembira menerima pemberian ini, bolehlah saya membuat persiapan raya nanti," katanya.

-- BERNAMA

FAMA Beli 63 Metrik Tan Duku Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membeli sebanyak 63 metrik tan buah duku bernilai RM72,000 di Terengganu sejak awal Ogos sehinggalah dini hari.

Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Hasan Jusoh berkata langkah agensi pemasaran itu membeli buah duku adalah bertujuan untuk mengatasi lambakan buah tersebut.

"Kebun duku terutamanya di beberapa daerah di Terengganu sekarang ini sedang masak dan dipetik oleh petani," katanya ketika dihubungi Bernama.

Hasan berkata kebetulan sekarang ini bulan puasa, menyebabkan buah duku banyak di pasaran dan harganya jatuh sehingga 90 sen sekilo.

Beliau berkata kerana itu, FAMA akan membeli seberapa banyak buah duku yang ada bagi memastikan petani-petani tidak mengalami kerugian.

Hasan berkata FAMA membeli buah duku daripada petani pada harga RM1.20 sekilogram, dan kebanyakan buah duku itu dijual semula di Lembah Klang, Perak dan Johor.

Daerah Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun merupakan kawasan yang paling banyak mengeluarkan duku di Terengganu pada tahun ini, katanya.

Bagaimana pun, beberapa kawasan duku di daerah Kuala Terengganu, seperti Pulau Rusa, Mansir, Kepong, Sungai Rengas, Pulau Musang dan Serada tidak menjadi pada musim ini, katanya.

Hasan berkata tahun ini, FAMA mewujudkan beberapa pusat pengumpulan di daerah Hulu Terengganu dan Dungun bagi memudahkan petani-petani menjual duku kepada agensi itu.

-- BERNAMA