Halaman

29 August 2010

Kerajaan Belanja RM14.6 Juta Untuk Pelajar.

Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan melaporkan dari Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 28 September 2010 – Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM14.6 juta kepada pelajar Terengganu yang berjaya ditawarkan ke pusat pengajian tinggi dan asrama penuh di seluruh negara pada tahun ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, bantuan tersebut adalah bagi pelajar membuat persiapan persediaan, ianya merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membantu kecemerlangan bidang pendidikan di negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa YAB Menteri Besar dengan pelajar institusi pengajian tinggi dan anak-anak Terengganu di pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kuala Lumpur.

Kira-kira 3,000 pelajar dari institusi pengajian tinggi dan dan Persatuan Anak-anak Terengganu (PESAT) hadir di majlis itu.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi , Sains dan Teknologi, dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan bin Che Mat.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri Terengganu sedang berusaha untuk mengurangkan masalah kemiskinan di Terengganu.


TEGANUKITA

berita penuh

Persatuan Sukan Terenggganu Disaran Cari Jurulatih Dari Luar Negara

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos (Bernama) -- Persatuan sukan di Terengganu disaran mencari jurulatih dari luar negara untuk memantapkan lagi atlit sekaligus menjayakan hasrat negeri ini menjadi kuasa baru dalam bidang sukan.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, masih ramai atlit dalam bidang sukan tertentu dilihat gagal mempamerkan aksi cemerlang setiap kali dalam pertandingan seperti kejohanan sukan dwi tahunan Sukma.

"Kita lihat masih banyak sukan yang tidak menyinar seperti memanah dan lain-lain jadi mereka boleh mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara jika perlu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian insentif kemenangan sukan Terengganu di Sukma XIII Melaka 2010 dan berbuka puasa di sini semalam.

Ahmad juga meminta persatuan sukan di negeri ini mula berusaha dari sekarang khususnya untuk menghadapi Sukma 2012 di Kuantan, Pahang dalam usaha untuk menjadi juara tiga tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan para atlit supaya lebih berdisiplin dalam rutin latihan mereka kerana ia penting untuk mencapai kejayaan untuk sesebuah pasukan.

"Sebagaimana yang saya tegaskan, saya tidak boleh berkompromi dengan atlit tidak berdisiplin, dan mereka jangan tunjuk keras kepala" katanya.

Ahmad berkata untuk insentif ini, kerajaan negeri peruntukkan RM1.5 juta untuk diagihkan kepada atlit-atlit yang berjaya dalam Sukma di Melaka.

Pemenang pingat emas menerima RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000 berbanding RM3,000 untuk emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa) sebelum ini.

Siti Rajiah Ali dari sukan kenu yang berjaya memenangi tujuh pingat emas dalam kejohanan itu baru-baru ini muncul sebagai atlit yang menerima anugerah tertinggi dengan meraih RM37,000.

-- BERNAMA


berita penuh

Hari Wanita: PM dan MB berkomunikasi menerusi sidang video

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said adalah di antara pemimpin negeri yang diberi kesempatan mengambil bahagian dalam sidang video bersama Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2010 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, petang semalam (25 Ogos ).


Dato’ Seri Ahmad Said dalam sidang televideo itu memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai kegiatan perniagaan dan usahawan wanita di Terengganu.

Katanya, wanita Terengganu telah pun keluar dari kepompong lama, tidak lagi mengusahakan keropok lekor semata-mata, tetapi banyak produk industri kecil sederhana (IKS) diusahakan, malah ada yang terbabit sebagai pengusaha kedai emas dan pengusaha batik terkenal.

Menjawab pertanyaan Perdana Menteri melalui siding video itu tentang ada atau tidak ‘design’ baru batik Terengganu, Dato’ Seri Ahmad memberitahu seorang profesor telah dilantik mengetuai penghasilan ‘design’ baru batik.

Dua lagi sidang televideo antara Perdana Menteri ialah dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad bersama isteri To’ Puan Norliza selepas itu bersama-sama dengan kepimpinan wanita Terengganu dan jemputan sempena Majlis Berbuka Puasa di Seri Iman.

Qariah terkenal sejak sekian lama yang berasal dari Terengganu, Dato’ Hajah Rogayah Sulong telah diumumkan sebagai Tokoh Wanita Terengganu sempena sambutan Hari Wanita Negeri yang diadakan serentak itu.

Hadir sama di majlis yang penuh bersejarah itu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.

TEGANUKITA

berita penuh

Agih kurma dari rumah ke rumah

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diarah supaya mengagihkan kurma dan air zam zam ke setiap rumah di kawasan kampung masing-masing bagi memastikan semua penduduk beragama Islam menerima bekalan tersebut.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan memastikan semua penduduk beragama Islam berpeluang menikmati buah kurma dan air zam-zam yang diberi secara percuma oleh kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Beliau berkata, tahun lalu terdapat segelintir penduduk tidak menerima kemudahan tersebut kerana cara pengagihannya kurang cekap.

Menurut beliau, di sesetengah kawasan JKKK hanya meletakkan buah kurma dan air zam-zam tersebut di masjid, bukannya mengagihkan dari rumah ke rumah seperti yang diarah oleh pihak berkuasa.

Justeru itu, katanya, ada penduduk yang mendapat bekalan lebih daripada sepatutnya manakala sesetengah penduduk tidak menerima langsung bekalan yang disediakan kerajaan.

Kerajaan Terengganu mengagihkan secara percuma kurma dan air zam zam kepada umat Islam di Terengganu pada bulan Ramadan sejak 2008, bagi membolehkan orang ramai menikmati makanan yang menjadi hidangan istimewa umat Islam tersebut.

Tahun lalu 300,0000 bungkus buah kurma dan air zam zam diagih di seluruh negeri sejak mula umat islam berpuasa.

Ahmad berkata, tahun ini bekalan kurma diperolehi dari Tunisia dan dihantar ke Terengganu secara berperingkat-peringkat sejak minggu lalu.

“Di sesetengah kawasan sudah ada rakyat yang sudah mendapat buah kurma manakala sebahagian lagi akan mendapatnya minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun ini sebanyak 250 ribu bungkusan air zam zam dan buah kurma akan diagih kepada rakyat, tetapi kosnya belum dapat dipastikan.

“Berbeza dengan tahun lepas, pada tahun ini kita pilih syarikat yang berlainan bagi membekalkan buah kurma dan air zam zam,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) memmberikan maklumat terperinci mengenai penduduk di kawasan berkenaan, bagi memastikan tidak ada penduduk yang tercicir.

TEGANUKITA

berita penuh

Atlit Sukma Terengganu dapat `duit raya'

Oleh: Aida Abd Rahman dan Wan Haironniza Wan Naim


Siti Rajiah menerima ganjaran RM37,500 berserta sebuah motosikal yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said. - Foto: ZULKIPLI PUTRA.

Atlit Terengganu yang memenangi pingat di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 Melaka baru-baru ini, ibarat menerima `duit raya’ apabila kerajaan negeri menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM1.5 juta, semalam (22 Ogos) .




Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, menyampaikan insentif kepada 205 atlit, 21 pengurus dan 59 jurulatih yang memenangi pingat dalam pelbagai acara sukan di temasya berkenaan, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Dato’ Seri Ahmad dengan penuh kesyukuran berharap atlit dan pegawai sukan yang mewakili Terengganu akan terus memahat nama Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara.

Beliau juga mengumumkan akan menyampaikan hadiah RM1 juta sekiranya Mohd Azizulhasni Awang, 22, pelumba basikal negara yang berasal dari Dungun itu mampu menggondol emas dalam Sukan Olimpik 2012 di London, kelak.



Katanya, inisiatif menyediakan insentif itu antara komitmen kerajaan dalam memastikan ikon sukan muda itu akan melonjakkan nama negeri dan negara amnya di persada dunia sebagai anak Terengganu dan Malaysia yang pertama memenangi emas dalam acara sukan paling berprestij itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri akan terus melakukan pemantauan dan meneliti tahap pencapaian dan konsistensi jurulatih sama ada mereka perlu dikekalkan melatih atlit dan pasukan atau sebaliknya.

Dalam majlis semalam, atlit yang meraih emas menerima habuan RM5,000 bagi setiap pingat yang diperolehi diikuti RM3,000 untuk pingat perak dan RM2,000 untuk pingat gangsa.


Jumlah itu meningkat berbanding hanya RM3,000 (emas), RM2,000 (perak) dan RM1,000 untuk gangsa dalam kejohanan sebelum ini di laman sendiri.

Atlit kanu Siti Rajiah Ali, 20, menjadi penerima ganjaran tertinggi sebanyak RM37,500 serta sebuah motosikal Honda Icon 108cc yang merupakan sumbangan peribadi Menteri Besar selepas ratu sukan air itu memenangi tujuh pingat emas daripada tujuh acara berpasukan dan individu yang disertainya.

Insentif itu merupakan janji kerajaan negeri kepada atlit dan pegawai sukan yang terlibat membawa Terengganu juara Sukma untuk kali kedua berturut-turut, selain memberikan cuti umum pada 27 Jun lalu.

Dalam kejohanan Sukma lalu, Terengganu dinobatkan selaku juara selepas meraih 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa manakala Selangor muncul naib juara dengan meraih 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa.

Sementara dalam kejohanan Sukma Terengganu 2008, Terengganu meraih 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa.

TEGANUKITA

berita penuh