Halaman

09 September 2010

Kunjungi Keluarga Arwah Fadli

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Seri Ahmad memberi sedikit sumbangan peribadi kepada keluarga arwah Mohd Fadli Muhammad iaitu pemain bola tampar Sukma Terengganu yang meninggal dunia di Kampung Jeram Hilir, Manir. - Foto: Zulkipli Putra.

Kesedihan keluarga arwah Mohd Fadli Muhammad, pemain bola tampar Sukan Malaysia (Sukma) yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru 5 Julai lalu, sedikit terubat dengan kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ke rumah arwah di Kampung Jeram Hilir, Manir, petang tadi (8 September).

Menteri Besar ditemani isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu arwah, Zabidah Salleh, 46, sebagai mengenang dan menghargai jasa atlit itu sepanjang menabur jasa mewakili negeri serta memberi semangat kepada keluarga arwah untuk menyambut lebaran dua hari lagi.



Beliau turut mengucapkan takziah dan memohon maaf kerana tidak sempat hadir lebih awal kerana urusan rasmi dan lawatan awal itu sudah diwakilkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Selain YB Rozi, hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri, Encik Rosdi Awang.

Sebelum ini, YB Rozi menyampaikan sumbangan Kerajaan Terengganu kepada keluarga mangsa sejurus selepas beberapa hari Mohd Fadli meninggal dunia.


To' Puan Seri Norliza bersama penduduk kampung ketika meziarahi keluarga arwah Mohd Fadli.

Sementara itu, Zabidah akan memastikan sumbangan yang dihulurkan pelbagai pihak akan digunakan untuk kebaikan arwah termasuk mengupah menunaikan Haji dan kenduri tahlil.

“Terima kasih kerana menteri Besar dan istri sanggup datang ke rumah dan menyampaikan sumbangan itu. Semangat saya memang hilang untuk beraya, sejak arwah tiada dan pertama kali berhari raya tanpa arwah di sisi.Bagaimanapun sebagai umat Islam kami tidak boleh melupakan sambutan Hari Raya dan tetap disambut secara sederhana.” katanya.

TEGANUKITA

Perlu bayar cukai tanah

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Menteri Besar ketika menjawab soalan wartawan selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Anak syarikat kerajaan negeri dan pemilik tanah terutama yang mempunyai bayaran cukai tanah tertunggak dinasihatkan supaya segera membayarnya bagi mengelak dikenakan notis atau tindakan undang-undang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, peringatan ini perlu dipandang serius kerana bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku termasuk dibebani hutang.

Katanya, berdasarkan perangkaan, pihaknya mendapati lebih RM10 juta cukai tanah yang belum dibayar oleh pihak berkaitan sepanjang tahun lalu.

“Jumlah ini cukup besar bagi kerajaan negeri, sekiranya dapat diselesaikan segera tunggak yang ada, pelbagai pembangunan untuk rakyat dapat dirangka.

“Oleh itu, mereka perlu tampil menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi mengelak dikenakan sebarang notis termasuk lelongan tanah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Imam, Kuala Terengganu, hari ini (8 September).



Dato’ Seri Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri menerima pemohonan tanah sebanyak 9,162 dalam tempoh tujuh pertama pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 4,015 kes mampu diselesaikan dalam tempoh yang sama. Selepas ditolak, baki yang masih tinggal adalah 5,147 kes.


Dato' Seri Ahmad bersama Dato' Mazlan Ngah ketika menjawab isu semasa.

“Pihaknya pecaya pemohanan akan bertambah dari semasa ke semasa walaupun menyedari jumlah tanah semakin berkurangan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri turut menerima permohonan berkaitan tanah haram iaitu sebanyak 1, 873. Hasil perbincangan dan mesyuarat yang dijalankan sebanyak 726 permohonan dapat diselesaikan sepanjang tahun lalu.
TEGANUKITA

MAIDAM Taja Pelajar Ke Jordan

Oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Seramai lima orang pelajar anak Terengganu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 ditaja penuh oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi melanjutkan pelajaran ke Jordan yang bermula dari peringkat Sarjana Muda hingga ke Doktor Falsafah (Ph.D).

Sebanyak RM551, 997,000 diperuntukkan oleh MAIDAM bagi menaja lima pelajar itu selama empat tahun untuk sarjana muda pertama.

Mereka ditempatkan di tiga buah Universiti yang berlainan di Jordan iaitu Universiti Al-Bayt, Universiti Yarmouk dan Universiti Mu’tah.

Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Senara Muda berkata, program ini merupakan satu transformasi yang dijalankan oleh pihak beliau dalam memartabatkan institusi ulama atau cendikiawan Islam Terengganu pada masa akan datang.

Program yang julung kali diadakan oleh MAIDAM ini merupakan perintis dalam mewarisi keilmuan dan tugas kerasulan para nabi untuk disebarkan kepada masyarakat.

“Pelbagai proses pemilihan peserta dilakukan yang bermula dengan pengambilan calon yang mempunyai teras agama Islam terbaik, Pra-kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bagi menjalani kursus Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris selama tiga bulan dan kemasukan ke Universiti di Jordan”, katanya semasa merasmikan majlis penyerahan tajaan program memartabatkan institusi ulama atau cendikiawan Islam, di MAIDAM, Terengganu hari ini.

Selain itu, beliau turut menasihati para perintis agar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dengan memanfaatkan sepenuhnya wang zakat asnaf fisabilillah ini bagi menghasilkan graduan ulama yang berkreadibiliti kelak.

“Para pelajar dinasihatkan agar mencapai anugerah Jidan atau Mumtaz iaitu dua anugerah yang di peringkat cemerlang ”, katanya.

Amirul Aiman Abdullah, 18, pelajar IMTIAZ dari daerah Dungun salah seorang peserta yang terpilih dalam program ini melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T kerana memberi peluang kepadanya untuk mendalami ilmu agama islam dengan lebih mendalam.

Manakala, Mohamad Izzat Mohd Iqbal, 18, merupakan anak sulung dan pelajar IMTIAZ Kuala Terengganu akan memanfaatkan sepenuhnya tajaan MAIDAM ini dan menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya.

Mereka dijangka akan menamatkan pengajian pada 2025 dan akan berangkat ke sana pada 13 September 2010 iaitu sehingga menamatkan pengajian di peringkat Ph.D.

MAIDAM turut akan menaja program pakar sakit puan khusus untuk perintis wanita sahaja yang akan diadakan pada tahun ini di mana sahaja institusi, dalam atau luar negara.

Dato’ Senara Muda berkata, sebanyak tiga peserta lepasan SPM akan dipilih untuk mengikuti bidang perubatan sakit puan ini disebabkan oleh kekangan pakar sakit puan di kalangan wanita mendorong MAIDAM mengambil inisiatif ini untuk menaja doktor pakar dalam bidang ini.

TEGANUKITA

05 September 2010

Dua Bayi Tabung Uji Pertama Terengganu Lahir 31 Ogos

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Dunia perubatan di Terengganu mencatat sejarah apabila dua bayi, masing-masing lelaki dan perempuan selamat dilahirkan buat pertama kalinya menerusi program persenyawaan dalam tabung uji (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pada 31 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar meluangkan masa melawat kedua-dua ibu bayi itu, berkata ini adalah bayi tabung uji yang pertama dilahirkan di HSNZ sejak perkhidmatan IVF dilaksanakan sepenuhnya bermula November tahun lalu.

HSNZ menjadi hospital ketiga menawarkan perkhidmatan itu secara sepenuhnya selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Dr A Rahman berkata, sepasang bayi berkenaan dilahirkan Mastika Abdul Aziz, 31, dan Salina Mohamad, 44. Malah, HSNZ dijangka bakal menerima 10 lagi bayi menerusi kaedah IVF sepanjang tahun ini hingga tahun depan.

Menurutnya, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan perkhidmatan IVF terutama menyediakan pelbagai peralatan dan pengubahsuaian dewan bedah di HSNZ.

Katanya, hospital itu mempunyai tiga orang doktor pakar yang mengendali program IVF dengan diketuai pakar perunding Dr Mohd Zulkifli Mohd Kassim.

Ibu bayi lelaki, Mastika berkhidmat sebagai jururawat di HSNZ dan berasal dari Marang, berkata, beliau bersama suaminya Mohammad Fadli Ngah, 31, menunggu selama empat tahun menerusi pelbagai kaedah perubatan untuk mendapatkan cahaya mata termasuklah melakukan permanian beradas tetapi masih belum berjaya memperolehi zuriat.

"Selepas usia perkahwinan memasuki dua tahun, saya mencuba permanian beradas sebanyak tiga kali, bagaimanapun keputusannya amat mengecewakannya. Sehinggalah saya disyorkan kaedah IVF ini oleh seorang doktor pakar dan sebaik mencuba ia benar-benar mendatangkan hasil," katanya .

Kegembiraan Mastika yang melahirkan bayi seberat 2.92 kg dengan cara pembedahan pada kira-kira 9.07 minit berganda apabila anak sulungnya lahir pada hari Kemerdekaan negara ke-53 serta sambutan lebaran seminggu lagi .

Sementara ibu bayi perempuan, Salina yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah berkata, kelahiran anak keduanya itu merupakan suatu yang amat bermakna buatnya dan suami, Fazuri Ishak, 38, yang merancang mendapatkan anak lagi selepas melahirkan anak sulung, Ahmad Faris secara normal enam tahun lalu.

“Suami saya berkhidmat sebagai anggota tentera laut dan dihantar mengikuti projek kapal selam di Perancis menyebabkan kami jarang bertemu. Selepas suami kembali akhir tahun lepas, kami mengambil peluang menggunakan kaedah IVF di sini dan syukur semuanya selamat tanpa sebarang komplikasi," katanya yang melahirkan bayi seberat 2.81 kg pada 11.25 pagi.

TEGANUKITA

Agihan Jalur Gemilang Semarak Merdeka

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-53 disemarakkan lagi dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada pengguna kenderaan yang berhenti di stesen Petronas Tok Jamal, Jalan Kuala Berang, Kuala Terengganu, petang semalam (29 Ogos).

Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama Petronas Wilayah Timur dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) berjaya mengagihkan lebih 1,000 bendera kecil untuk dilekatkan pada kenderaan dalam tempoh dua jam berada di stesen minyak itu.

Selepas majlis itu, tetamu yang hadir kemudiannya diraikan dalam majlis berbuka puasa di Seri Wangsa Seafood, bersebelahan stesen minyak itu.

Pemangku Pengarah Penerangan Terengganu, Encik Mustaffa Abdul Kadir kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan dan badan bukan kerajaan yang hadir pada majlis itu.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Encik Mustaffa meminta semua pihak sama-sama menyemarakkan sambutan kemerdekaan dan tidak melupakan sejarah penubuhan serta pembebasan negara dari tangan penjajah sehingga mampu mengecap keamanan dan pembangunan hari ini.

Katanya, dalam keceriaan dan kesibukan menyambut Ramadan serta membuat persiapan lebaran yang bakal tiba kurang dua minggu lagi, pihaknya tetap mengambil tanggungjawab untuk memastikan masyarakat negeri ini menanam semangat patriotisme selain tidak melupakan tanggal 31 Ogos setiap tahun yang seharusnya diraikan semua rakyat.

TEGANUKITA