Halaman

20 October 2010

ZAKARIA BIN IBRAHIM DILANTIK SEBAGAI PENDAFTAR BARU UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU 20 Oktober 2010 - Haji Zakaria bin Ibrahim, 56, dilantik sebagai Pendaftar baru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggantikan Haji Mohd Suib bin Haji Maulud yang telah bersara wajib setelah berkhidmat selama 35 tahun.

Haji Zakaria bin Ibrahim berkelulusan Sarjana Pengurusan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Perundangan Islam) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Haji Zakaria bin Ibrahim, mula berkhidmat dengan UMT dari tahun 2000 ketika UMT dikenali dengan nama Kolej Universiti Terengganu (KUT) sebagai Penolong Pendaftar. Sebelum dilantik sebagai Pendaftar UMT, beliau merupakan Timbalan Pendaftar di Pejabat Pendaftar.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) UMT dan Ketua Penolong Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar ketika universiti ini masih lagi dikenali dengan nama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM). Sebelum menjawat jawatan di UMT, beliau juga pernah berkhidmat di UPM selama 18 tahun.

Beliau juga merupakan seorang staf yang aktif dalam pelbagai aktiviti luar bersama masyarakat termasuk menjadi Presiden Kelab Volkswagen Terengganu, Penasihat Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) peringkat Terengganu, Bendahari kepada Jawatankuasa Masjid Kampung Mengabang Telipot dan juga Timbalan Pengerusi Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.

Haji Zakaria bin Ibrahim juga merupakan salah seorang pemain Golf yang aktif dan menjadi wakil universiti dalam beberapa pertandingan anjuran UMT dan agensi lain termasuk Kejohanan Golf Majlis Sukan Institut Pengajian Terengganu (MASUKIT), Pertandingan Golf Maritim Sedunia dan Kejohanan Sukan Antara Pusat Tanggungjawab di UMT.

Sepanjang perkhidmatan, beliau merupakan seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan universiti terutama pengurusan hal ehwal pelajar, pengurusan akademik dan pengurusan sumber manusia.

SUMBER: Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu

UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:
NAMA : Sayed Mohd Tamimuddin bin Sayed Ibrahim
Penolong Pendaftar Kanan
TEL : 09 - 668 4557/4339
EMEL: tamimsayed@umt.edu.my
WEB : www.umt.edu.my

TARIKH SIARAN: 20 OKTOBER 2010
DISIARKAN OLEH PERHUBUNGAN MEDIA & PENGURUSAN ACARA BERNAMA

Kerajaan Terengganu Belanja RM1 Juta Hantar Petugas Tunai Haji

KUALA TERENGGANU, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi menghantar 100 petugas kerajaan negeri termasuk imam, bilal dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunaikan fardhu haji tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pemilihan petugas untuk menunaikan fardhu haji bagi kali keempat itu dibuat berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh mereka semasa menjalankan tugas.

"Mereka akan berlepas dengan penerbangan KT04 bersama 356 jemaah lain ke Madinah pada kira-kira pukul 8.05 malam ini," katanya ketika ditemui semasa meraikan pemergian jemaah haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada hari Selasa.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan memberikan bantuan kewangan kepada penjawat awam sebagai persiapan persekolahan, yang melibatkan peruntukan RM7 juta.

-- BERNAMA


Makanan Percuma Untuk Keluarga Jemaah di LTSM

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Kerajaan Terengganu menyediakan makanan percuma kepada keluarga yang mengiringi bakal jemaah haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Kerajaan Terengganu muncul negeri pertama yang menyediakan makanan secara percuma kepada lebih 4,000 keluarga yang mengiringi bakal jemaah haji yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu.

Inisiatif kerajaan menyediakan makanan itu bagi memudahkan orang ramai memperolehi makanan tanpa perlu bersusah-payah mendapatkan kedai makan dan mengeluarkan belanja, selain berasa selesa sepanjang mengiringi keluarga masing-masing ketika di LTSM.

Pelbagai menu berbeza seperti nasi minyak, nasi tomato dan nasi kuning termasuk minuman dan kuih-muih disediakan melalui penyelarasan Pejabat Menteri Besar untuk kemudahan 4,000 hingga 5,000 orang bermula jam 12.30 tengah hari sehingga petang setiap kali jadual penerbangan membwa jemaah haji berlangsung.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata sejak 2008 kerajaan negeri menyediakan makanan secara percuma bagi memudahkan keluarga jemaah berikutan kawasan LTSM yang kurang kemudahan perkedaian serta mereka pula datang dari jauh termasuk Pahang dan Kelantan seterusnya memerlukan tempat makan yang mudah dikunjungi.

“Ini merupakan sumbangan kita kepada para jemaah haji Terengganu (di LTSM) untuk memudahkan keluarga yang mengiringi mereka. Alhamdulillah, mereka dapat makan dengan sempurna bersama keluarga mereka,” kata beliau ketika ditemui di LTSM, Kuala Terengganu, petang ini (19 Oktober).

Menteri Besar juga berbesar hati apabila pihak Syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) dan Pihak Lembaga Tabung Haji menyatakan bahawa Terengganu antara negeri terbaik dalam urusan mengendalikan jemaah haji di negara ini.

Katanya, ia terbukti apabila, pihak pengurusan mampu mengendalikan pendaftaran masuk sehingga lebih 300 jemaah selamat berada di dalam penerbangan kurang sejam setiap kali penerbangan.

Dalam pada itu, Menteri Besar, berkata 100 jemaah haji yang bakal berlepas malam ini terdiri daripada kumpulan kakitangan awam, imam, bilal dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) yang mendapat penajaan Kerajaan Terengganu.

Beliau berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan tiket dan penginapan kepada 100 jemaah terlibat dan inisiatif itu sudah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

“JKKK dipilih seorang daripada setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mampu menunjukkan perkhidmatan terbaik. Kesemua mereka dipilih sebagai penghargaan kerajaan (negeri) dan tanda terima kasih dengan perkhidmatan terbaik yang diberikan sepanjang bertugas di jabatan dan kawasan masing-masing,” katanya.

Penerbangan hari ini adalah yang keempat sejak 16 oktober lalu melibatkan 356 jemaah yang mula mendaftar sejak jam 4.05 petang sebelum berlepaske Madinah kira-kira jam 8.15 malam.

Seorang jemaah haji, Wan Mohamad Wan Kadir, 60, berkata dia berasa sangat bertuah kerana terpilih untuk menyahut seruan Ilahi bagi menunaikan ibadat haji melalui penajaan kerajaan negeri tahun ini selepas tiga kali menolak tawaran itu sebelum ini.

Dia yang juga Pengerusi JKKK Kampung Tembesu Akar di Dun Sura, Dungun, ditemani isteri Rokiah Muda berterima kasih dengan penghargaan dan inisiatif kerajaan Terengganu dan amat terharu kerana bukan semua dapat peluang yang dikecapnya kali ini.

Kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Mohd saidi Abbd rahman, 42, dari Chendering, Kuala Terengganu juga turut melahirkan kesyukuran kerana bakal menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Kota Mekah yang diperolehi menerusi penajaan Kerajaan Terengganu.

"Saya amat gembira dan berterima kasih. Segala yang dilakukan kerajaan dan pihak berwajib dalam mengendalikan para jemaah amat baik dan lancar. Malah, keluarga juga disediakan makanan secara percuma yang tiada di negeri-negeri lain," katanya yang ditemani isteri Zaharah Sembok, 42.

TEGANUKITA

Veteran Ikhlas Berjuang

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Seri Ahmad bersalaman dengan golongan veteran ketika hadir di majlis Mesra Veteran Bersama Pemimpin dan Jasamu Dikenang di Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Keamanan dan ketenteraman yang dikecapi kini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan golongan veteran yang penuh ikhlas dan jujur.

“Orang dulu sanggup berjalan kaki atau tumpang lori untuk pergi ke majlis ceramah dan kaum ibu pula sanggup gadai gelang emas untuk belanja ke program parti,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di majlis Mesra Veteran Bersama Pemimpin dan Jasa Mu di Kenang, di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Setiu, kelmarin (17 Oktober).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris; Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee; Pengerusi Veteran Terengganu, Dato’ Yahya Hashim dan Pengerusi Veteran Setiu, Haji Yusof Hamid.

Katanya, nikmat kemerdekaan begitu banyak yang dapat dirasai oleh generasi hari ini dan semua ini adalah hasil pengorbanan golongan veteran yang banyak berkorban masa dan tenaga demi kebahagiaan anak cucu mereka.

“Kitalah pewaris bangsa yang mendapat nikmat kebahagian itu dan semangat yang ada pada mereka perlu dicontohi kerana lambat laun kita juga akan jadi veteran,” katanya.

Bagi menghargai pengorbanan mereka, 20 orang veteran dalam Perlimen Setiu dipilih menerima Anugerah Jasa Mu di Kenang dan sembilan orang menerima sumbangan kerusi roda yang disampaikan oleh Dato’ Seri Ahmad.


TEGANUKITA

19 October 2010

KIST Cadang Buka Cawangan Di Kedah, Sabah Dan Sarawak

KUALA TERENGGANU, 18 Okt (Bernama) -- Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang mula beroperasi di Bachok, Kelantan lima tahun lalu dan membuka cawangan Terengganu di Kuala Berang pada 2009, kini melangkah lebih jauh dan akan membuka tiga lagi cawangannya awal tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Pensihat KIST Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, KIST bakal membuka cawangannya di Kota Kinabalu, Sabah, Kuching (Sarawak) dan di Kedah.

"Buat permulaan setiap kampus menyediakan empat bidang pendidikan sains kesihatan di mana setiap kursus melibatkan 50 pelajar pada peringkat awal dan sasaran kita sehingga 10,000 pelajar apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak," katanya pada majlis konvokesyen ketiga KIST dan penyampaian diploma serta sijil kepada 748 graduan di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini Isnin.

Tengku Putera berkata pembukaan tiga cawangan baru itu, yang dijangka menelan belanja sehingga RM20 juta, adalah kerana ramai pelajar berasal dari negeri-negeri berkenaan.

Tengku Putera berkata, buat permulaan ketiga-tiga cawangan itu akan menawarkan pengajian di bidang kesihatan seperti Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan dan Sains Sukan dan X-Ray.

"Kita dapati bidang kesihatan mendapat pasaran kerja yang baik terutama di kalangan swasta di mana 90 peratus bekas pelajar KIST berkhidmat dengan swasta," katanya.

-- BERNAMA

38 Tukun Tiruan Bernilai RM500,000 Di Kuala Terengganu Dan Kemaman

KUALA TERENGGANU, 17 Okt (Bernama) -- Jabatan Perikanan Terengganu akan melabuhkan 38 unit tukun tiruan bernilai RM500,000 di perairan Terengganu dalam usaha menambah kawasan pembiakan ikan di negeri itu.

Pengarahnya Zakaria Ismail berkata 20 unit daripada tukun tiruan itu akan dilabuhkan di perairan sekitar Kuala Terengganu manakala 18 lagi di perairan Kemaman.

"Kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan itu akan dilakukan oleh pihak swasta dengan pengawasan Jabatan Perikanan mulai esok," katanya ketika dihubungi Bernama pada hari Ahad.

Zakaria berkata kerja-kerja melabuhkan kesemua tukun konkrit tersebut yang setiap unit seberat antara 18 hingga 20 tan dijangka selesai dalam tempoh dua bulan ini.

-- BERNAMA

Pemandu Teksi Diminta Jaga Imej Negeri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN dan Esah Abdullah


YB Khazan bersama pemilik dan pemandu kereta sewa Kuala Terengganu di majlis suai mesra di Chendering. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Pemandu kereta sewa (teksi) di negeri ini diminta menjaga imej negeri dengan memberi layanan terbaik kepada pelancong serta melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan isu semasa sekaligus boleh membantu menaikkan imej negeri di mata orang luar.

“Pemandu teksi adalah cerminan imej negeri dan setiap layanan baik yang diterima akan menjadi sebutan mereka sampai bila-bila,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat di majlis Mesra Pemandu dan Pemilik Kereta Sewa Kuala Terengganu di Kompleks Nor Arfa Batik, Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Terengganu, Hajah Azizah Awang; Pengerusi Persatuan Kereta Sewa (PKS) Kuala Terengganu, Haji Yunus Salleh dan ahli-ahli Kelab Permotoran Terengganu (KPT) serta ahli-ahli PKS Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, katanya, pemandu teksi perlu mengetahui banyak perkara mengenai negeri ini terutama tempat bersejarah, pusat peranginan seperti pantai dan pulau serta makanan tradisional seperti keropok lekor serta ikan celup tepung.

“Biasalah orang luar akan bertanya macam-macam seperti kita juga kalau pergi ke tempat orang isu semasa atau pasal politik, jawablah dengan berhemah dan perkara yang baik-baik agar tidak timbul kekeliruan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan membantu semua golongan tanpa mengira kaum dan fahaman parti memberi gambaran keikhlasan dan kesungguhan mendahulukan rakyat dalam semua perkara.

“Apa yang kerajaan amalkan ini tidak lari daripada tuntutan dalam agama, membantu kepada yang susah dan bersangka baik kepada semua golongan,” katanya.

TEGANUKITA

Tidak Perlu Was-was Untuk Derma Organ

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dr Nordiyanah (tengah) ketika melancarkan Kempen Minggu Kesedaran Pendermaan Organ di HSNZ, Kuala Terengganu. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Kurangnya kesedaran selain was-was untuk menderma kerana dibimbangi disoal malaikat apabila mati kelak, antara faktor utama kurangnya penderma organ berbangsa Melayu berbanding bangsa asing.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan, berkata kerajaan boleh menyediakan prasarana canggih untuk rakyat seperti hospital, peralatan moden dan sumber kewangan namun keputusan untuk menderma organ atau tisu tidak boleh dipaksa sebaliknya perlu kerelaan hati untuk berbuat demikian.

“Berdasarkan perangkaan, kebanyakan penderma organ sama ada paru-paru, buah pinggang, jantung dan kornea adalah bangsa asing dan jarang sekali berbangsa Melayu atau umat Islam, faktor ini berlaku mungkin disebabkan terikat dengan kepercayaan, tidak boleh menderma kerana dibimbangi disoal malaikat apabila mati kelak.

“Penderma tidak perlu bimbang kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan menderma organ seperti kornea, jantung dan sebagainya apabila meninggal dunia kelak diharuskan dalam Islam,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak menjadi satu kesalahan kerana kita membantu mereka yang terdesak selain menghilangkan perderitaan mereka yang sakit.

“Pihaknya sangat mengalu-alukan masyarakat hari ini terutama golongan muda yang sihat untuk melakukan perkara baik ini, kerana buat masa ini terdapat lebih 10,000 pesakit di negara ini sedang menunggu hanya untuk mendapat sebiji buah pinggang.

“Seseorang itu, memerlukan keikhlasan hati yang cukup tinggi, tidak ragu-ragu dan mendapat persetujuan keluarga terdekat terumata ibu bapa, isteri atau suami dan anak-anak sebelum menderma,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Minggu Kesedaran Perdermaan Organ di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini (18 September) .

Katanya, mendapat persetujuan adalah perkara paling penting, kerana dibimbangi akan wujud campur tangan pihak tertentu ketika tiba saat pemindahan walaupun pada awalnya penderma bersetuju untuk menderma.

“Jumlah penderma di Terengganu cukup kecil berbanding negeri lain iaitu hanya dua orang. Kekurangan ini berlaku mungkin disebabkan kurangnya kesedaran, timbul perasaan takut, campur tangan pihak luar, dan was-was.

“Menyedari kelemahan itu, pihaknya akan mengadakan pameran bergerak atau `road show’ di seluruh Terengganu, bermula awal November ini, selain mendapatkan kerjasama pegawai agama untuk menjelaskan fatwa sebenar kepada masyarakat,” katanya.
TEGANUKITA

Anggap Kami Seperti Ibu Sendiri-To' Puan Seri Norliza

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kami bersedia memberi khidmat dan sokongan moral kepada anak-anak semua bagi membina kehidupan yang lebih baik pada hari ini dan masa depan. Anggaplah kami seperti ibu sendiri sebagai tempat untuk mengadu masalah yang dihadapi.

Demikian kata-kata yang disampaikan Yang Dipertua Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud sebagai mewakili persatuan itu, ketika menghadiri majlis bersama warga Sekolah Tunas Bakti (STB) Perempuan (P), Marang, di dewan sekolah itu, kelmarin (14 Oktober).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Encik Zuhami Omar dan Pengerusi Lembaga Pelawat STB (P) Marang, To’ Puan Zaiton Mat Amin.

To’ Puan Seri Norliza berharap supaya anak-annak di STB mampu berubah menjadi anak yang baik dan sentiasa memberi yang terbaik untuk kedua ibu bapa, sseterusnya mampu menjaddi belia yang baik dan pemimpin yang disegani pada masa depan.

“Maju dan mundur sebuah negeri pada masa depan adalah bergantung kepada aset yang merupakan belia yang ada pada hari ini, termasuk anak-anak semua. Oleh yang demikian, saya berharap, anak-anak semua dapat merenung dalam diri dan menyayangi kedua ibu bapa serta masa depan semua.

“Sekali tersilap langkah, boleh memusnahkan kehidupan. Bagaimanapun, anak-anak masih bertuah kerana walaupun ditempatkan di sini (STB), namun anak-anak masih berpeluang untuk mengubah kehidupan dan mempraktikkan segala ilmu yang diberi sepanjang di STB untuk kebaikan diri sendiri,” kata beliau.

Beliau berkata, pelajar di STB diharap terus bersemangat untuk menjalani kehidupan apabila keluar dan kembali kepada keluarga masing-masing kelak seterusnya bertekad untuk menjalani hidup dengan cemerlang serta menjadikan setiap pengalaman pahit atau manis sebagai pengajaran yang berguna.

To’ Puan Seri Norliza kemudiannya menyampaikan cenderahati kepada sebahagian daripada pelajar STB sempena majlis itu.

Seramai 172 pelajar ditempatkan di sekolah yang ditubuhkan sejak 2003 itu menerusi pengawasan JKM yang melibatkan 166 pelajar Melayu, empat India dan dua Cina.

TEGANUKITA

KONVENSYEN MANTAPKAN KESEJAHTERAAN UNTUK RAKYAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Suriati binti Ali


Dato' Seri Ahmad Said melihat logo 1Malaysia ketika menutup Konvensyen Terengganu 2010. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Konvensyen Terengganu 2010 yang berlangsung pada 15-16 Oktober telah memberi gambaran yang jelas bahawa keadaan politik dan pembangunan Terengganu semakin terserlah beroreantasikan ‘rakyat’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said bersyukur di atas keadaan tersebut, khususnya dengan penyatuan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan daerah-daerah (bahagian) dalam meneruskan agenda perjuangan untuk kesejahteraan rakyat.

“Biduk lalu kiambang bertaut, marilah kita meneruskan kembali perjuangan untuk memastikan rakyat mendapat faedah dan kita semua perlu bermuhasabah diri sejauhmana kita telah laksanakan kehendak rakyat dan rakyat tidak berkecil hati kepada kita,” kata beliau sewaktu berucap menggulung dan menutup Konvensyen berkenaan di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Beliau yakin rakyat akan memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasonal (BN) dan menjadikan pilihanraya sebagai medan membalas budi dan bukannya melepaskan dendam kerana tidak berpuas hati.

Katanya perancangan pembangunan untuk rakyat akan diteruskan termasuklah usaha mengubah wajah bandar Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang terkenal.

Beliau juga memberitahu, Taman Ilmu juga akan mula dimasuki pelajar pada September tahun depan kerana pihak UiTM telah bersetuju untuk menjadikan taman itu kampus institusi tersebut dengan jangkaan kemasukan awal pelajar seramai 1500 orang.

Dato’ Seri Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, beliau gembira dan terharu dengan perkembangan positif itu yang memperlihatkan seluruh ahli sehingga ke peringkat akar umbi kembali bertaut.

Beliau yang mengharapkan semangat 'kekeluargaan' itu berterusan turut menaruh harapan agar segala permasalahan dalaman parti perlu dikikis dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

"Kita harap semua masalah dapat dilupakan, masalah yang kita hadapi selama ini kita ketepikan. Sebagai orang politik, jangan mudah ambil hati dan kecil hati. Kita kena reda dan muhasabah diri," katanya.

Dato’ Seri Ahmad seterusnya yakin dengan komitmen tinggi mereka yang mengambil bahagian dan bertindak sebagai jurucakap mewakili UMNO di setiap peringkat bahagian pada konvensyen itu untuk menyatukan semula ahli bagi membela nasib bangsa dan agama.

Justeru itu katanya, beliau mahu semua pemimpin Bahagian mengambil perhatian dan membuat tindakan susulan bagi memastikan semua pemimpin dan ahli parti di Terengganu kembali bersatu.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sentiasa prihatin terhadap Terengganu.

TEGANUKITA

17 October 2010

Dakwah Untuk Orang Asli

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Masyarakat Orang Asli di negeri ini, mula menunjukkan minat untuk mendalami pelbagai ilmu terutama berkaitan pentingnya pegangan agama Islam dalam hidup.

Usaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Negeri Terengganu menganjurkan beberapa program berbentuk dakwah dan kebajikan.nyata memberi perkembangan positif.

Program yang dianjurkan itu bertujuan merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di mana sebelum ini hanya berpandukan cara hidup persekitaran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Encik Khazan Che Mat, berkata kerjasama dan komitmen yang diberikan agensi berkaitan amat dihargai dan perlu diteruskan untuk kepentingan bersama terutama berkaitan ajaran Islam.

“Islam bukan agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan malah
ia bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan.

“Oleh itu, kerajaan negeri menyeru masyarakat Orang Asli supaya mendalami dan menghayati ajaran Islam yang sebenarnya, bukannya sekadar pada nama sahaja,”katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan sentiasa berusaha membantu mendalami ajaran mulia ini melalui beberpada pendekatan selain menyediakan kemudahan infrastruktur seperti surau, pusat aktiviti dan sebagainya.

“Golongan ini juga sewajarnya mementingkan aspek pendidikan kerana melaluinya setiap masyarakat boleh maju dan mengecapi keselesaan hidup,” katanya.


TEGANUKITA

Taman-Eko Burung Walit di Jerangau

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Sebuah syarikat Bumiputera akan membangunkan kawasan di Cermin Kiri, Jerangau, Dungun sebagai Taman-Eco Burung Walit.

Industri burung walit yang semakin popular di seluruh dunia mendorong sebuah syarikat Bumiputera merancang membangunkan kawasan Cermin Kiri, di Jerangau, Dungun sebagai Taman-Eko Burung Walit.

Syarikat itu berhasrat membina antara 20 dan 25 unit rumah burung walit serta kilang dalam taman- eko itu nanti.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Azizol Mohd Sharom, berkata jabatannya menerima pelbagai permohonan daripada pihak swasta untuk melabur dalam industri burung walit di Terengganu.

Dianggarkan kira-kira 800 pengusaha burung walit di Terengganu sehingga hari ini, tetapi separuh daripada mereka dikatakan tidak aktif.

Mengenai makmal itu, Dr Azizol berkata ia dibina untuk menjadi contoh kepada mereka yang baru hendak menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, JPV bakal memperkenalkan model rumah burung walit yang lebih kecil dan lebih murah berbanding rumah burung yang biasa dibina di sini.

Rumah contoh itu dibina di Pusat Veterinar Jerangau, Dungun dengan kos kira-kira RM28,000 seunit.
Dr Azizol menyasarkan industri sarang burung walit di kalangan Bumiputera di Terengganu akan meningkat kepada 10 peratus menjelang 2015 berbanding lebih 4 peratus sekarang.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti beberapa daerah di Terengganu berpotensi untuk mengusahakan ternakan itu termasuk di Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Kuala Terengganu.

Daripada kajian yang dijalankan, katanya kebanyakan burung walit dari Indonesia berhijrah ke Terengganu setelah berlaku kebakaran hutan di negara berkenaan.

Dr Azizol berkata nilai industri burung walit di dunia sekarang mencecah RM60 bilion dan Malaysia menduduki tempat ketiga dalam industri itu selepas Indonesia dan Thailand.


TEGANUKITA

PBT Perlu Peka Terhadap Bahasa

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kerajaan negeri meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peka terhadap penggunaan bahasa terutama berkaitan paparan iklan, papan tanda dan nama jalan, supaya tidak disalah erti oleh pelbagai pihak.

Perkara ini selaras dengan undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan dan perlu diikuti pihak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penggunaan bahasa cukup penting terutama jika ingin dipaparkan kepada umum dan masyarakat luar.

Katanya, kempen bulan bahasa kebangsaan pada tahun ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, sesuai dengan gagasan 1 Malaysia.

“ Inilah bukti usaha kita untuk memperkukuhkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan,” katanya ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar sempena Majlis Perlancaran Bulan Bahasa Kebangsaaan 200 peringkat Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (12 Oktober).

Lebih 2,000 peserta pelbagai institusi dan agensi hadir di majlis itu yang turut diserikan persembahan puisi, sketsa dan lafaz ikrar sumpah setia bahasa.

Encik Razif turut menggesa masyarakat Terengganu memperbaharui iltizam dan azam bagi memantapkan kualiti sahsiah serta mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia

Sewajarnya, sebagai warganegara Malaysia, kita mempertahankan dan menghormati bahasa kebangsaan tanpa diselitkan bahasa asing lain dalam setiap perbualan.

TEGANUKITA