Halaman

05 November 2010

Terengganu Lulus 600 Hektar Untuk Projek Herba Dan Kambing Boer

KUALA TERENGGANU, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 600 hektar kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Dungun dan Setiu untuk dilaksanakan projek tanaman herba dan ternakan kambing Boer.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri meluluskan seluas kira-kira 400 hektar di Pasir Raja, Dungun untuk tanaman herba dan 200 ekar untuk projek ternakan kambing Boer di Pancor Bederu, Setiu.

"Kita harap kedua-dua projek ini dapat membantu dan meningkatkan pendapatan penduduk kampung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyurat exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Ahmad berkata projek tanaman herba di Pasir Raja itu merupakan projek tanaman herba secara komersial yang pertama dilaksanakan di Terengganu.

Beliau berkata sekarang ini kerja-kerja mengukur kawasan sedang dilaksanakan dan penanaman pokok herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing dan lain-lain akan dimulakan awal tahun depan.

Katanya pokok-pokok herba itu merupakan herba yang popular dan mendapat sambutan di pasaran pada masa ini.

Beliau berkata di Pancor Bederu, buat permulaannya kira-kira 2,000 ekor induk kambing Boer telah ditempatkan di situ yang akan diusahakan oleh 150 orang golongan miskin tegar.

Dalam masa yang sama, Ahmad berkata kerajaan akan membina 100 unit rumah di kawasan tersebut untuk golongan miskin tegar untuk bekerja di ladang itu.

"Selepas lima tahun rumah itu akan menjadi milik mereka sekiranya mereka bekerja dengan baik. Pendapatan mereka dianggar melebihi RM1,500 sebulan, sekaligus mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan," katanya.



-- BERNAMA



berita penuh

03 November 2010

Waspada Dengan Bencana Banjir

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan sentiasa berwaspada berikutan banjir di negeri ini dijangka kembali melanda dengan anggaran 40 peratus lebih buruk berbanding tahun sebelum ini.

Dato’ Ahmad berkata, mereka perlu menyimpan segala dokumen penting ditempat yang selamat bagi mengelak sebarang kesukaran berlaku di kemudian hari, termasuk untuk perdaftaran anak sekolah dan pelbagai hal yang berkaitan.


“Ibu bapa perlu peka terhadap bencana ini dengan memastikan anak masing-masing berada di tempat yang selamat dan bukannya membiarkan mereka leka bermain air banjir.

“Pihaknya cukup sedih sekiranya masih berlaku kematian akibat banjir walaupun pelbagai amaran dan nasihat dikeluarkan pihak berkaitan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Minguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (3 November).

Dato’ Seri Ahmad turut memberitahu, seluas 400 hektar bakal diusahakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk menanam lebih sepuluh jenis tumbuhan herba di Pasir Raja, Dungun sebagai langkah mengelak kepupusan, menambah pendapatan rakyat dan menjana ekonomi negeri..

“Tanaman herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Dukung Anak dan Misai Kucing akan ditanam penduduk setempat dengan mengutamakan golongan ibu tunggal dan pendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, katanya, ECER turut mengusahakan ternakan kambing kaprima atau dikenali di kalangan masyarakat setempat sebagai kambing boer, membabitkan kawasan seluas 200 hektar di Pancur Berderu, Setiu .

“Projek ternakan yang dijangka bermula tahun depan itu mampu menawarkan pendapatan RM500 sehingga RM1,500 kepada penduduk yang terlibat.

“Di kawasan bersebelahan pula akan dibina 150 unit rumah bagi menempatkan pekerja ladang. Buat permulaan, kerajaan negeri bersetuju membina 100 unit rumah,” katanya.

Menurutnya, hasil daripada perbincangan dengan pihak berkaitan, rumah berkenaan akan menjadi hak millik sekiranya pekerja yang mempamerkan dispilin yang baik, bertanggungjawab dan jujur dalam melaksanakan tugas.

TEGANUKITA

berita penuh

Blog Media Baru Salur Maklumat

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Dato' Seri Ahmad Said, Ahmad Fathil, dan Rosli Zakaria bersama para pemenang Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Blog merupakan media baru yang boleh membantu rakyat, negeri dan negara menyampaikan mesej kepada orang awam terutama pelayar internet.

“Melalui blog juga, ia boleh diguna untuk menaikan dan menjatuhkan seseorang,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010, di Primula Beach Resort, petang semalam (2 November).


Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani; Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Encik Rosli Zakaria; Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Encik Roshali Taha dan Ketua Sektor ICT, Jabatan Pelajaran Terengganu, merangkap Ketua Hakim Pertandingan, Encik Nasir Ismail.

Katanya, apa pun tujuan blog dicipta, yang pasti ada kreativiti untuk menyalurkan makumat seperti menyalurkan mesej kerajaan negeri untuk pelancongan yang akan menjadi tulang belakang ekonomi negeri pada masa akan datang.

“Pertandingan ini juga merupakan perintis kepada usaha memperkasakan sektor pelancongan untuk perkenalkan nama Terengganu di serata dunia dan kerajaan tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membayar iklan promosi,” katanya.

Beliau kemudiannya bersetuju iklan itu suatu yang penting untuk tujuan promosi, tetapi keindahan dan kebersihan satu-satu destinasi itu dengan sendirinya boleh menjadi bahan bualan pelancong apabila mereka kembali ke nagara asal masing-masing.

“Mungkin pada masa akan datang pertandingan ini diadakan dengan tema ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pelancongan’ dengan skop yang lebih luas, merangkumi perspektif sosial dan ekonomi serta mengajak peserta untuk uar-uarkan kepada umum usaha kerajaan membangun negeri,” katanya.

Pertandingan yang dibuka selama enam bulan bermula April hingga September ini dengan tema ‘Terengganu Di Hati Ku’ menerima 398 penyertaan dari seluruh negara, dari jumlah tersebut, 261 peserta layak bertanding dan dipantau oleh urusetia bagi memastikan tiada aktiviti tidak sihat berlaku di laman blog penyertaan.

Pertandingan ini juga mendapat hit hampir 23,000, yang turut dilayari dari seluruh dunia seperti United Kingdom, Russia, Indonesia, Singapura, Egypt, Mongolia, Slovenia, Taiwan, France, Canada dan Netherlands.

Puan Norhaizan Abd Kadir dari Kuantan, Pahang muncul johan Kategori Terbuka, tempat kedua Encik Suzairi Zakaria dari Setiu dan ketiga Encik Syahreil Hafiz Shamsuddin dari Shah Alam, Selangor.

Kategori IPT, johan dimenangi Encik Mohammad Syazwan Safwan Jaafar dari Marang, Terenggau, Fairuz Abdul Rashid dari Kuala Terengganu (kedua) dan Aliashim Albani dari Kuala Terengganu (ketiga) manakala Kategori Sekolah dimenangi Syukrina Muhamad Razak dari Kedah, Wan Aini Athirah Wan Mohd Rahim dari Kuala Terengganu (kedua) dan Siti Haziqah Ismail dari Kemaman, Terengganu (ketiga).

Kategori Terbuka menawarkan RM10,000 (pertama), RM7,000 (kedua), RM5,000 (ketiga) disamping pakej penginapan dan sebah kamera digital dan RM3,000 (keempat) dan RM2,000 (kelima) serta masing-masing RM500 kepada 10 pemenang saguhati.

Kategori IPT, tempat pertama menerima RM7,000, RM5,000 (kedua) RM3,000 (ketiga) beserta pakej penginapan dan kamera digital manakala RM2,000, (keempat), RM1,500 (kelima) dan masing-masing RM300 kepada tujuh pemenang saguhati.

Kategori Sekolah, RM5,000 (pertama) RM3,500 (kedua), RM2,500 (ketiga) beserta pakej penginapan manakala RM1,500 (keempat), RM1,000 (kelima) dan masing-masing RM250 kepada enam pemenang saguhati.

TEGANUKITA

berita penuh

Badan Korporat Tampil Sokong SCTEC 2010

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu (SCTEC) 2010 di Lembah Bidong, Setiu yang bakal berlangsung minggu depan menerima sokongan daripada pelbagai badan dan agensi korporat apabila mereka tampil menaja kira-kira RM140,000 bagi menjayakan sukan tahunan berprestij itu.


Antara penaja berkenaan adalah syarikat Sime Darby Berhad; Kumpulan Liziz Sdn Bhd; MRK Resource Corporation Sdn Bhd; Ketengah Holding Sdn Bhd; Ais Consultants; Terengganu Incorporated Sdn Bhd; Pancuran Budi (M) Sdn Bhd; Agro bank (Cawangan Kuala Terengganu); A.i Agro Marketing; Syarikat Air Terengganu; Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu; AHT Norlan United & Carriage SDN Bhd dan TM Malaysia.

Penajaan disampaikan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam semalam ( 2 November). Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Kejohanan bermula 5 hingga 7 November ini bakal diketuai Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama 100 peserta dari seluruh negara.

Selain Malaysia, 11 negara lain dijangka bersaing dalam kategori 120 kilometer termasuk Amerika Syarikat, Chile, Uruguay, Perancis, Thailand, Indonesia, Singapura, Bahrain dan Australia.

Antara kelab tempatan yang akan turut memeriahkan kejohanan itu ialah pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Penn Endurance Club, Langkawi Endurance Stable, Masterscaff Endurance Team dan TSAB Stable Perlis.

Sementara itu, kejohanan yang diiktiraf Equestrian Association of Malaysia (EAM) dan Federation Equestrian International (FEI) itu menawarkan RM30,000 kepada juara, manakala kedua dan ketiga masing-masing RM20,000 serta RM15,000, dikuti RM10,000 (keempat) dan RM8,000 bagi peserta di tempat kelima beserta piala.

Hadiah RM1,000 juga akan diberikan kepada peserta yang berjaya menghabiskan acara pada masa yang ditetap dan hadiah RM3,000 kepada kuda terbaik.

TEGANUKITA

berita penuh

Jasa Pendidik Diiktiraf Kerajaan Negeri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Pengorbanan guru yang mampu melahirkan generasi berwibawa dan berkebolehan sehingga bergelar cendekiawan tidak pernah dipandang sepi kerajaan negeri.

Pelbagai pengiktirafan diberikan termasuk menaja lawatan sambil belajar kepada pengetua, guru besar dan guru penolong kanan yang berjaya merealisasikan hasrat kerajaan negeri khususnya dalam merekodkan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam keempat-empat peperiksaan awam negara ini.


Terbaru, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meraikan 3,568 guru sekolah menengah dan rendah seluruh Kuala Terengganu sambil menyampaikan pemacu kilat (pendrive) eksklusif sebagai cenderahati kenang-kenangan kepada seorang demi seorang guru berkenaan.

Dato’ Seri Ahmad berkata, cenderahati itu sebagai kesinambungan kepada usaha memastikan Terengganu bukan sahaja muncul sebagai `negeri anjung ilmu’, bahkan menjadikan formula `201052’ sebagai sasaran pencapaian cemerlang dalam empat peperiksaan utama tahun ini menjadi kenyataan.

“Jika Terengganu berjaya mengekalkan juara dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk kali kesepuluh berturut-turut tahun ini, seramai 50 guru besar dan guru penolong kanan yang berjaya mengekalkan prestasi terbaik akan dipilih menyertai lawatan sambil belajar ke luar negara,” kata beliau dalam Majlis Perjumpaan Bersama Guru Seluruh Kuala Terengganu, di Taman Tamadun Islam, kelmarin (30 Oktober).

Manakala 30 pengetua terbaik masing-masing bagi pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut berpeluang ke luar negara sebagai insentif kecemerlangan daripada Kerajaan Terengganu.

Sementara guru yang berjaya mengekalkan rekod dua tahun berturut-turut terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak terkecuali bakal menikmati percutian ke luar negara berdasarkan pencapaian peperiksaan itu kelak.

Dalam pada itu, kerajaan negeri membelanjakan RM2.4 juta bagi menyediakan cenderahati berkenaan kepada kira-kira 22,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu.

Pertemuan Menteri Besar dengan guru di Kuala Terengganu adalah yang keempat selepas majlis bersama kira-kira 3,000 guru di Kemaman, diikuti Marang ( 1,966 guru) dan Hulu Terengganu melibatkan 1,830 guru.


TEGANUKITA

berita penuh

Imtiaz Yakin Dapat Keputusan Cemerlang Dalam SPM dan PMR

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Keempat-empat Sekolah Menengah Imtiaz, mensasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.03 bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 1.30 untuk Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selepas cemerlang dalam peperiksaan percubaan lalu.

Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Encik Aziz Mamat, pihaknya bangga dengan pencapaian yang ditonjolkan pelajar dan harap dapat dikekalkan di tahun seterusnya.


Katanya, Imtiaz juga meletakkan sasaran 60 pelajar daripada 186 jumlah calon SPM mendapat keputusan 11A manakala 20 pelajar 11A+ dalam peperiksaan kelak.

“Apa yang membanggakan, kesemua graduan lepasan Imtiaz berjaya menempatkan diri ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

“Sehingga kini, seramai 50 pelajar ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti ternama luar negara iaitu Jordan dan Mesir. Kebanyakan mereka memilih bidang profesional seperti perubatan dan pergigian,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Hafazan dan Haflah At-Takhaarruj 2010, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 509 pelajar tingkatan tiga dan lima dari Sekolah Menengah Imtiaz (Imtiaz) Besut, Imtiaz Dungun, Imtiaz Kuala Terengganu dan Imtiaz Kuala Berang diraikan sempena majlis itu yang diserikan dengan persembahan nasyid.

Manakala 177 pelajar yang berjaya khatam menghafaz 30 juzuk menerima Anugerah Hafazan dan seorang pelajar di setiap Imtiaz menerima Anugerah Ulul Albab.

Encik Aziz turut memberitahu, pembelajaran di Imtiaz adalah satu model pembelajaran holistik di mana setiap individu memaksimumkan tanpa meminggirkan aspek spiritual dan kerohanian.

Katanya, dalam usaha membudayakan al-Quran di kalangan pelajar, Imtiaz telah menerapkan program hafazan di dalam sistem pendidikannya.

“Setiap pelajar diwajibkan menghafaz satu muka surat sehari, satu juzuk sebulan dan khatam menghafaz 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun iaitu ketika di tingkatan tiga. Apabila masuk tingkatan empat dan lima, mereka perlu mengulangnya kembali,” katanya.

Sementara itu Encik Razif berkata, pendekatan pembelajaran di Imtiaz yang membudayakan al-Quran wajar dicontohi pelbagai pihak kerana anak-anak adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin ummah pada masa akan datang.

Katanya, semoga pembudayaan ini dapat menghasilkan generasi pintar al-Quran yang dapat mengembalikan kegemilangan tamadu Islam dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan negeri sebagai negeri `Anjung Ilmu’.

TEGANUKITA

berita penuh

Skim Perlindungan Syariah Dapat Sambutan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar menandatangani plak perasmian Pejabat Wilayah Terengganu Takaful IKHLAS di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Usaha menawarkan skim perlindungan berasaskan syariah kepada masyarakat merupakan suatu yang dapat membangunkan muamalat Islam dan semakin mendapat sambutan baik di negeri ini .

“Saya ucapkan syabas kepada takaful IKHLAS, kerana mampu menarik 66,548 rakyat di negeri ini menjadi pelangannya,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Majlis Perasmian Pejabat Wilayah Terengganu Takaful IKHLAS, di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (31 Oktober).


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Takaful IKHLAS Malaysia, Encik Sharkawi Alis.

Katanya, penyediaan perkhidmatan perlindungan kewangan yang menawarkan pelbagai produk perlindungan inovatif berasaskan prinsip dan nilai Islam mampu mendapat perhatian masyarakat.

“Anugerah yang diterima oleh syarikat ini, membuktikan komitmen yang luas sebagai penyedia utama perlindungan kepada umum dan saya yakin ramai lagi akan beri sokongan,” katanya.

Sementara itu, Encik Sharkawi berkata, tahun kewangan syarikat terus meningkat daripada RM147 juta (2005), RM224 juta (2006), RM428 juta (2007), RM579 juta (2008) RM615 juta tahun lalu dan yakin mampu mencapai RM750 juta tahun ini.

“Peningkatan yang memberangsangkan juga berlaku di negeri ini iaitu RM8.2 juta (2007), RM11.7 juta (2008) dan RM13.9 juta (2009) manakala tahun ini dijangkakan meningkat kepada RM31 juta,” katanya.

Takaful IKHLAS menawarkan 90 pelan perlindungan berlandaskan syariah Islam dan dengan pembukaan pejabat baru di negeri ini, syarikat sedang giat merekrutkan ejen-ejen baru bagi memberi peluang rakyat tempatan menyertainya dan secara tidak langsung membolehkan mereka membaiki taraf hidup keluarga.

Menteri Besar kemudiannya telah menyampaikan zakat perniagaan takaful kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan (RM5,000), Pondok Darul Salam (RM5,000), Pondok Falahiah, Setiu (RM5,000) dan 20 orang pelajar dari Mahaad Tahfiz Wal Tarbiah, Tok Jiring, Kuala Terengganu.

TEGANUKITA

berita penuh