Halaman

16 November 2010

Projek BBK hampir siap

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Bandar Baru Kijal (BBK), Kemaman yang sedang dibangunkan dengan membabitkan 12 komponen projek dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM143.7 juta, kini lebih 80 peratus siap. .

Pembangunan yang melibatkan zon komersial, pejabat, jalan raya dan pelbagai kemudahan lain itu dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri dan Pusat.

Berkaitan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meluangkan masa lebih dua jam bagi menghadiri Mesyuarat Projek Pembangunan BBK, semalam (14 November) di pejabat Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi mendapat gambaran terperinci.

Selepas mendapat penerangan daripada beberapa pihak berkaitan, Dato’ Seri Ahmad kemudiannya, bergegas ke tapak projek di Paya Lasir, Kijal, Kemaman bertujuan melihat secara dekat dan mengetahui perkembangan terkini.

Projek itu dibahagikan kepada dua fasa di mana fasa pertama adalah zon komersial yang dibangunkan pihak berkuasa tempatan dan fasa kedua adalah zon institusi yang akan dibangunkan oleh swasta.

Berdasarkan tinjauan Teganukita, pembangunan itu dimajukan di kawasan seluas 222.82 hektar, di mana sebelum ini hanyalah tanah terbiar yang ditumbuhi pokok nipah dan hutan tebal.

Tahap kemajuan pembinaan Pasar Raya Giant yang bernilai RM21 juta kini mencecah hampir 60 peratus manakala sistem prasarana menelan kos RM3 juta pula pada tahap 25 peratus

Apabila BBK yang dijangka siap awal tahun depan, kawasan itu bukan saja akan dibanjiri penduduk tempatan, malah penduduk negeri jiran seperti Pahang dan Kelantan dijangka datang untuk membeli-belah pelbagai produk termasuk pakaian sama seperti produk dijual di Nilai, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor.

TEGANUKITA

Sesi Sekolah Dimulai Bacaan al-Quran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Setiap pelajar Islam di sekolah menengah dan rendah seluruh Terengganu bakal memulakan sesi persekolahan harian mereka dengan membaca al-Quran selama 10 minit mulai tahun depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud, berkata pendekatan itu sebagai usaha menyuburkan al-Quran dalam jiwa generasi muda serta penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.

"Bagi pelajar Islam yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil pula tenaga ustaz akan digunakan bagi menguruskan mereka secara berkumpulan," katanya kepada media, baru-baru ini.

Selain itu katanya semua program-program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid mulai tahun depan.

Katanya, ia tidak lagi diadakan di resort atau di hotel-hotel sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

“Saya yakin tempat yang terbaik dalam usaha membangunkan sahsiah pelajar adalah masji d dan sekaligus turut emmbantu mengimarahkan institusi berkenaan.

“Umumnya masjid negeri besar dan indah, malah turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang dapat dimanfaatkan dan pihak jabatan telah mendapat kerjasama jawatnkuasa masjid,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Razali berkata semua sekolah di Terengganu akan dikehendaki mengadakan Solat Hajat sebelum cuti persekolahan bermula minggu depan, di samping satu lagi solat Hajat serentak di seluruh negeri yang dirancang sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.

TEGANUKITA

Terengganu Kekal Juara UPSR Kali Ke-10

Oleh: Aida Abdul Rahman


Dua pelajar cemerlang Sek Keb Tok Randok, Hulu Terengganu menunjukkan keputusan UPSR mereka. - Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

Terengganu terus mengekalkan momentum kejayaan sebagai negeri terbaik buat kali kesepuluh berturut-turut bagi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 yang diumumkan serentak di seluruh negeri, hari ini (11 November).

Kejayaan itu juga membuktikan bahawa penggunaan e-Book sebagai alat bantuan mengajar yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu kepada pelajar Tahun Lima sejak tahun lalu memberi impak positif terhadap kecemerlangan peperiksaan awam itu.

Mereka menjadi kumpulan perintis yang menggunakan e-Book dalam persediaan berdepan UPSR 2010, baru-baru ini.

Kejayaan mengekalkan keputusan terbaik itu diumumkan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, di Bilik Mesyuarat Alamanda, JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu.

Jumlah peratusan calon UPSR yang memperolehi keseluruhan A (5 A) meningkat 0.1 peratus pada tahun ini . Jumlah keseluruhan calon berkurangan 797 orang tahun ini berbanding seramai 23, 944 orang pada 2009.

Lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu Pemahaman(BM Pem) (Sekolah Kebangsaan (SK)), Matematik, Sains, BM Pem (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan BM penulisan mencatat peningkatan peratusan pencapaian A dan minimum C.

Encik Razali berkata, sekolah yang berpencapaian tinggi (GPS kurang 1.80) di seluruh Terengganu banyak didominasi sekolah di luar bandar seperti SMK Chalok (1.14) , SK Bukit Tadok (1.18) , SK Kampung Baru Tok Dor (1.22), SK Kampung Tayor (1.23), SK Tepus (1.24) serta SK Dusun , SK Teris dan SK Mangkok masing-masing mencapai 1.38,

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar, Dato’ seri Ahmad Said dan Kerajaan Terengganu dengan bantuan kewangan dan sokongan moral dalam menjayakan kecemerlangan UPSR 2010.

“Kita akan melakukan pencangan rapi bagi membaiki beberapa prestasi mata pelajaran yang kurang baik khususnya Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain.

“Salah satu cara bagi memperbaiki keputusan subjek BI adalah pendekatan ke arah kaedah pedagogi dan mengemukakan kepada pihak kementerian bagi mendapatkan tenaga mahir serta menggunakan kajian tertentu bagi memperbaiki keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, SK Paya Bunga, Kuala Terengganu yang pertama kali melahirkan pelajar yang mendapat keseluruhan A dalam UPSR tahun ini bakal dijadikan sekolah elit Bandar Raya Kuala Terengganu mulai tahun depan.

Katanya, dua daripada 15 pelajar sekolah berkenaan berjaya memperolehi 5A dan perkembangan baik itu akan dikekalkan lbagi memastikan lebih ramai pelajar memperolehi keseluruhan A mampu dihasilkan di sekolah yang bakal dijadikan sekolah elit bandar raya itu.

Pihaknya menerusi pegawai pendidikan daerah juga akan mengenalpasti sekolah lain terutama di kawasan luar bandar untuk diangkat sebagai sekolah elit di Terengganu.

Pada tahun ini, seramai 23,533 murid Tahun Enam yang melibatkan 22, 813 (SK), 476 (SJKC) dan 248 Sekolah Rendah Swasta menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan melibatkan 354 sekolah seluruh negeri.

TEGANUKITA

15 November 2010

GURU CEMERLANG DIHARGAI-MB

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bidang pendidikan akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan dan pendidik yang telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang akan diberi penghargaan.

Terbaru, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan seramai 60 guru cemerlang akan dihantar ke luar negara untuk menyertai lawatan sambil belajar sebagai penghargaan selepas Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan terbaik buat kali ke-10 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Beliau memberi jaminan guru cemerlang di sekolah menengah akan turut mendapat habuan sama sekiranya Terengganu muncul terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk kali keempat berturut-turut.

Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Guru- Guru daerah Setiu di Sekolah Menengah Lembah Bidong, Setiu semalam (13 November 2010).

Di majlis itu seramai 1,646 guru di daerah ini menerima penghargaan Menteri Besar pada majlis penyampaian hadiah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)(Elit) Lembah Bidong, semalam.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Langkap, Asha’ari Idris adalah antara yang turut hadir.

Dato’ Seri Ahmad berkata, sebelum ini, seramai 50 guru cemerlang di negeri ini sudah dihantar melawat Australia selama seminggu.

“Ia penghargaan Kerajaan Negeri kepada guru yang komited sehingga berjaya meletakkan Terengganu pada tangga teratas dalam tiga keputusan peperiksaan utama termasuk UPSR,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan pusat dan negeri membelanjakan sejumlah besar
wang untuk pendidikan kerana ia adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Ahmad turut menyentuh tentang betapa pentingnya
kita membuat persediaan untuk mencari peluang pendapatan yang baru, terutama
selepas ketiadaan sumber petroleum.

Beliau yakin bidang pelancongan boleh menjadi sumber alternative yang penting dengan syarat ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan mempastikan keamanan berterusan untuk meyakinkan kehadiran pelancong dan pelabur.

“Jika terlalu kerap berlaku tunjuk perasaan, huru hara dan sebagainya sebagaimana berlaku di negara jiran, ia sudah pasti menjejaskan pendapatan negara dan merugikan rakyat juga,”katanya.

TEGANUKITA