Halaman

06 December 2010

Ben Ainslie Juara Piala Monsun 2010

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Teamorigin bersama skipper Ben Ainslie dinobatkan juara Piala Monsun 2010. Hadiah disampaikan SUK Terengganu, Dato' Mazlan Ngah. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Ben Ainslie dan Teamorigin dari Britain dinobatkan juara Piala Monsun 2010 buat julung kali dalam kejohanan Kapal Layar Piala Monsun edisi keenam, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam (5 Disember).



Dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan pada petang semalam itu Ben Ainislie, 33 memintas Richard, 34, dari Perancis di kedudukan teratas dengan 126 mata berbanding Richard 111 mata.

Ia merupakan penebusan Ainslie yang pernah dikecewakan 0-3 oleh Adam Minoprio, tahun lalu, apabila bangkit daripada ketinggalan 2-1 untuk menang 3-2 ke atas Torvar Mirsky (Mirsky Racing Team).



“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya (lain Percy, Christian Kamp, Matthew Cornwell dan Mike Mottl), mereka menampilkan pelayaran terbaik. Keadaan begitu sukar di sini.

Kami perlu menangani keadaan berubah-ubah sepanjang perlumbaan, tiupan angin dan pasang surut dan arus sungai sepanjang laluan perlumbaan,” katanya.



Dalam satu kenyataan mengenai perancangan masa depan, Ainslie tidak mempunyai sebarang cita-cita meneruskan pembabitannya dalam match racing, sebaliknya akan kembali ke pentas Olimpik berikutan pembubaran pasukannya, TEAMORIGIN tahun depan.

Kejayaan menjulang Piala Monsun gemilang buat pemenang tiga pingat emas Olimpik dari Britain itu.

TEGANUKITA

Sokongan Demi Martabatkan Sukan Wanita-To' Puan Seri Norliza

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud sedaya upaya akan memberi sokongan dan bantuan yang sepatutnya bagi meningkatkan prestasi dan memartabatkan sukan yang disertai golongan wanita.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika meraikan pegawai dan atlit pada majlis makan malam sempena Kejohahan Hoki Wanita Bawah 16 Tahun Kebangsaan 2010, di Kediaman Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, malam kelmarin (2 Disember).

“Tahniah kepada Persatuan Hoki Wanita Negeri Terengganu kerana berjaya menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi menganjurkan satu kejohanan yang besar dan banyak kepentingannya terhadap pembangunan sukan hoki tanah air.

“Kejohanan di peringkat awal inilah yang menjadi landasan terbaik untuk melihat kemajuan dan prestasi sebenar sukan di peringkat negara mahupun dunia,”kata beliau lagi.

Sebanyak 11 pasukan bertanding pada kejohanan tahunan itu yang menyaksikan Terengganu selaku tuan rumah mara ke peringkat separuh akhir bersama pasukan Melaka, Kuala Lumpur dan pasukan jemputan, Sekolah Sukan Bandar Penawar.

TEGANUKITA

735 Berjaya Hafaz 23 Surah Lazim

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Muhammad Ramli Noh, YB Ahmad Razif, Dato' Mazlan Ngah dan Mohd Safaruddin Mustafa bersama kanak-kanak taska di majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Jadual waktu hafaz enam kali sehari yang dipraktikkan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang mengambil masa lima enam minit setiap sesi bacaan, mendorong peningkatan jumlah kanak-kanak hafaz al-Quran setiap tahun.

Setiap hari, antara waktu bemain dan aktiviti pembelajaran lain, mereka akan berehat sekejap untuk membaca Muqaddam dan cara begini diterima baik golongan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun.

“Terdapat 63 buah Taska YPK atau dua buah setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri kata, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dn Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, YB Muhammad Ramli Noh dalam sidang media sebaik selesai majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam, 23 Surah Lazim Kanak-kanak Taska YPK 2010, di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, semalam (4 Disember).



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah YPK, Mohd Safaruddin Mustafa.



“Memupuk minat membaca dan meminati al-Quran kalangan kanak-kanak mendapat sambutan menggalakan lebih-lebih lagi sokongan kuat daripada ibu bapa yang sangat ketara sejak ianya diperkenalkan empat tahun lalu,” katanya.

Katanya, ketika mula diperkenalkan dulu (2007) 250 orang kanak-kanak berjaya menghafaz 23 surah lazim, diikuti 455 orang (2008) dan 594 (2009) manakala tahun ini (2010) meningkat kepada 735 kanak-kanak.



Menurutnya, program hafazan yang bermula setiap Januari iaitu bila sesi persekolahan bermula, telah menjadi perangsang kepada kanak-kanak Taska serta ibu bapa bagi melahirkan anak-anak cemerlang al-Quran bila meningkat dewasa.

TEGANUKITA

05 December 2010

Pesakit Kanser Perlu Perhatian Dan Sokongan Moral

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Tuanku Nur Zahirah berkenan memotong kek Ulangtahun ke-10 Hospis Terengganu di Ri Yaz Heritage Marine Resort dan Spa Pulau Duyung. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan merasmikan Majlis Ulangtahun Ke 10 Persatuan Hospis Terengganu di Ri Yaz Heritage Marina Resort dan Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini (2 Disember).

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Yang Dipertua, Persatuan HOSPIS Terengganu, To’ Puan Rahmah Elias dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan.

Persatuan amal itu ditubuhkan bertujuan membantu pesakit kanser yang memerlukan perhatian serta penjagaan berkualiti terutama di kalangan keluarga dan masyarakat.

Baginda bertitah, peranan dan sokongan moral ahli keluarga adalah sangat penting dalam membantu pesakit ini terus tabah selain mengelak tertekan dan lebih tenat.

“Dalam hal demikian, beta berharap supaya ahli persatuan dapat bersama-sama keluarga pesakit membantu mereka menjalani hari-hari mendatang dengan satu kehidupan lebih bermakna dan ceria.

“Ibarat kata perpatah, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”, beta mengakui dan memahami amat sukar untuk kita menyelami isi hati pesakit, mereka tentunya diselubungi keresahan dan kebimbangan sebaik disahkan menghidapi kanser,” kata baginda

Sementara itu, To’ Puan Rahmah, berkata setiap pesakit kanser amat memerlukan perhatian dalam pelbagai aspek termasuk fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian pesakit. Oleh itu, kita sebagai masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan memikul tanggungjawab itu seikhlas mungkin.

Katanya, kami sebagai ahli persatuan terdiri daripada doktor, jururawat, pekerja sosial, kaunselor dan sukarelawan pula menawarkan perkhidmatan kebajikan dan rawatan khas di rumah semata-mata ingin mereka menjalani kehidupan lebih baik.

“Penjagaan paliatif yang ditawarkan bukannya untuk menyakinkan pesakit supaya pulih sebaliknya memberi sokongan secara menyeluruh termasuk emosi dan kerohanian selain menjadi perantara pihak hospital.

“Pesakit yang dirujuk kepada HOSPIS lazimnya berada dalam keadaan kritikal, terlalu tenat dan tidak mampu pulih. Pada peringkat ini, aspek simpati, belaian, perhatian dan penjagaan daripada keluarga serta petugas kesihatan cukup penting dan mampu memberi kekuatan kepada mereka berdepan hari-hari mendatang,” katanya.


TEGANUKITA