Halaman

01 January 2011

PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO TERENGGANU DISAMBUT SEDERHANA TETAPI PENUH MAKNA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Rakyat, khususnya pendokong Umno di Terengganu dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya peringkat bahagian, cawangan-cawangan, termasuk sayap-sayap (Wanita,Pemuda dan Puteri) menyambut kepulangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pagi ini (1 Januari 2011).


Dato’ Seri Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu tiba kira-kira jam 9.30 pagi ini bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud setelah bercuti beberapa hari yang lalu.
Sambutan terhadapnya meriah dan penuh bermakna walaupun dalam suasana yang cukup sederhana, ketika hujan membasahi bumi Terengganu.

Ia adalah sekadar meraikan pelantikan semula Menteri Besar sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu di samping mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak atas pelantikan itu.

Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Umno, Dato” Tengku Adnan Mansor beberapa hari lalu dalam satu sidang media di Kuala Lumpur. Turut dilantik Ketua Umno Bahagian Marang, YB Haji Yahya Khatib Mohamad sebagai Timbalannya.

Imam Besar Negeri Terengganu telah memimpin bacaan doa selamat sempena kepulangan Menteri Besar dari bercuti.

Dato’ Seri Ahmad ketika diminta berucap kepada orang ramai yang menyambutnya melahirkan terima kasih kepada Dato’ Seri Mohd.Najib dan pimpinan Umno Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui Umno Terengganu.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Hishamudin Tun Hussien yang memimpin Umno Terengganu seketika sebelum ini.

Sambil mengucap terima kasih kepada semua pihak, termasuk yang menyambut kepulangannya beliau berkata, Presiden parti telah mengadakan perbincangan dengannya tiga minggu yang lepas sebelum membuat pelantikan itu.

“Inilah pertama kali saya berpeluang bercuti beberapa hari dalam tempoh menjadi Menteri Besar hampir tiga tahun yang lalu” katanya dalam ucapan ringkas di perkarangan LTSM.

Beliau juga memberitahu Terengganu juga akan bercuti Ahad ini (esok 2 Januari) berikutan meraikan kemenangan bola sepak negara sebagaimana diumumkan Perdana Menteri tentang cuti peristiwa itu.

Beliau juga mengumumkan akan memberi ganjaran RM5,000 dan kemungkinan juga lot tanah kepada pemain bola sepak Terengganu yang mewakili negara dalam kejohanan yang telah memulihkan semula imej bola sepak negara.

Sementara itu, bercakap kepada media selepas itu, Dato’ Seri Ahmad berjanji akan melaksanakan tugas sebaik mungkin, terutama ke arah Pilihanraya Umum Ke 13 bagi merampas kembali kerusi-kerusi yang tewas dalam pilihan raya lalu.

Katanya, beliau akan turun sendiri ke bahagian-bahagian Umno di Terengganu dan memperbanyakkan lagi program serta mengatur strategi untuk kemenangan, di samping bekerjasama dengan sayap-sayap parti, Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas strategi yang akan digunakan bagi tujuan kemenangan itu.

TEGANUKITA

berita penuh

29 December 2010

Terengganu Hab Pelaburan Kompetitif

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan yang kompetitif di rantau ini dilaksanakan secara bersepadu menerusi pelbagai program promosi pelaburan dan menaiktaraf infrastruktur di kawasan perindustrian sedia ada.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kawasan yang berpotensi sebagai kawasan perindustrian juga akan terus dikenalpasti serta dinaiktaraf bagi memastikan lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan dapat diwujudkan.

Pada tahun lalu, pelaburan berjumlah RM397.93 juta membabitkan 33 projek yang dapat memberi pekerjaan kepada 2,181 pekerja dicadangkan. Daripada jumlah itu, hanya satu projek melibatkan pelabur tempatan dengan nilai RM102.63 juta.

Pada tahun semasa sehingga November, kerajaan telah meluluskan 28 projek membabitkan pelabur tempatan bernilai RM458.64 juta yang dapat memberi pekerjaan kepada 6,460 orang.

Pada masa yang sama, kerajaan juga akan meningkatkan pembangunan industri teknologi maklumat (ICT) menerusi pembiayaan projek ICT berprofil tinggi secara `inisiatif pembiayaan swasta’ (PFI) seperti Projek Metro Ethernet Fiber Optik Terengganu.

Projek ini akan melibatkan pemasangan optik sebagai tulang belakang rangkaian internet negeri serta pembinaan `pusat data’ di kawasan Perindustrian Batu Rakit yang menjadi pertama seumpanya di Pantai Timur.

TEGANUKITA

berita penuh

Perniagaan Keropok Keping Dan Lekor Di Terengganu Makin Pulih

KUALA TERENGGANU, 28 Dis (Bernama) -- Sesetengah pengusaha keropok di Kampung Losong di sini kini mampu mencatat jualan sehingga RM30,000 sebulan setelah perniagaan mereka jatuh merundum tahun lepas gara-gara dikaitkan dengan penyakit taun.


Pengerusi Persatuan Pengusaha Kerepok Losong (PPKL) Abu Bakar Yusof berkata ini berikutan orang ramai kembali memberikan sambutan kepada makanan tradisional Terengganu itu.

"Tahun lepas, orang ramai tidak berani membeli keropok kering dan keropok lekor kerana isi ikan dikatakan mengandungi kuman kolera," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata disebabkan itu, jualan keropok hampir lumpuh dan merosot sehingga 60 peratus kerana orang ramai mengelak daripada makan keropok.

Katanya keadaan semakin pulih dan kini sesetengah peniaga mampu mencatat jualan yang memberangsangkan.

Abu Bakar berkata pada musim cuti sekolah ini, jualan keropok meningkat antara RM300 dan RM10,000 sehari berbanding hari biasa antara RM200 dan RM1,000 sehari.

Peniaga keropok di Kampung Losong terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori kecil, sederhana dan besar, tetapi mereka semua merupakan anggota persatuan.

Katanya harga keropok lekor telah naik 20 sen, iaitu daripada lima batang berharga RM1 kepada empat batang berharga RM1, berikutan harga bahan mentah naik.

Beliau berkata harga ikan untuk membuat keropok pula naik dua kali ganda, begitu juga sagu dijangka naik daripada RM35 seguni (28kg) kepada RM56.

Menurutnya kebanyakan sagu ini diimport dari Indonesia kerana Malaysia kekurangan sagu.

Abu Bakar berkata PPKL kini mempunyai seramai 65 anggota, termasuk pengusaha roti canai segera dan persatuan cuba membantu terutamanya peniaga kecil supaya terus berkembang.

-- BERNAMA


berita penuh

DATO’ SERI AHMAD SAID PENGERUSI PERHUBUNGAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pelantikan semula Dato’ Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT) oleh Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak sebenarnya merupakan pelantikan yang mengambilkira kehendak bawahan, selaras dengan pendekatan yang sentiasa diamalkan di bawah kepemimpinan Dato’ Seri Najib.

Banyak cawangan-cawangan Umno di Terengganu sejak dua tahun yang lalu membuat usul dalam mesyuarat agung Umno cawangan masing-masing berkaitan perkara itu. Walaupun disebut di dalam usul berkenaan supaya jawatan tertinggi Umno Terengganu diserahkan kepada anak Terengganu, tetapi sebenarnya bermaksud diserahkan kepada Menteri Besar mereka sebagaimana tradisi.


Bukan hasrat mereka untuk tidak menerima Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Hishamuddin Tun Hussien, tetapi mereka merasakan imej Umno Terengganu tercalar, seolah-olahnya orang Terengganu tidak mampu mengendalikan sendiri Umno Terengganu kalau selama-lamanya demikian.

Pemimpin dan ahli Umno Terengganu seharusnya berterima kasih kepada Dato’ Seri Hishamuddin yang telah sudi menerajui seketika Umno Terengganu dan sudi pula menyerahkannya bila sudah merasakan sampai masanya berbuat demikian.

Ini adalah janji beliau sewaktu mula-mula dilantik dahulu, bahawa beliau memimpin untuk sementara waktu dan akan menyerahkan kembali kepada orang Terengganu bila tiba waktunya.

Secara hakikatnya, ahli-ahli Umno Terengganu berasa rendah diri jika berterusan Umno Terengganu dipimpin orang bukan orang Terengganu, betapa tidak layaknya mereka untuk mengurus rumahtangga sendiri. Secara psikologinya pembangkang telah menang dalam pertarungan ini, apabila perasaan ‘rendah diri’ itu mengalir dalam diri ahl-ahli Umno.

Kalaulah tidak mampu menguruskan sendiri Umno di negeri mereka, bagaimana mungkin untuk berdepan dengan lawan?

Justeru itu, pelantikan Dato’ Seri Ahmad telah memulihkan semula semangat dan membuang perasaan yang dinyatakan tadi. Walaupun ada segelintir yang mungkin kurang bersetuju dengan pelantikan terbaru itu, ia adalah perkara biasa dalam kita membuat sesuatu keputusan; namun kita yakin Dato’ Seri Ahmad sebagai wakil rakyat yang paling senior (sejak 1990) iaitu di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lagi, boleh menanganinya.

Pemimpin dan ahli politik yang berjiwa besar pastinya akan menerima keputusan dan ketentuan dengan reda dan positif. Kalau tidak, mereka bukanlah pemimpin yang boleh dianggap hebat; apatah lagi kalau ada sifat keciwa, dendam dan iri hati.

Sebagai Ketua Umno Bahagian Kemaman, Dato’ Seri Ahmad pernah mencipta rekod cemerlangan, apabila bahagian itu pernah muncul sebagai Bahagian yang paling ramai keahlian semasa kempen menambah ahli Umno dijalankan di peringkat pusat.

Dato’ Seri Ahmad diharapkan dapat memacu pembangunan negeri untuk rakyat dengan lebih yakin apabila parti pemerintah negeri dan kerajaan negeri berada dalam keadaan yang seiring dan sejalan sebagaimana Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) orang yang sama.

Kita percaya Dato’ Seri Ahmad mempunyai ciri-ciri kepemimpinan mulia seperti terbuka, tiada dendam dan sedia dikritik atau mendengar pandangan positif dari rakan-rakan seperjuangan. Slogan, falsafah dan prinsip ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ hendaknya terus dijulang dan dikotakan olehnya.

Terima kasih Dato’ Sri Najib atas lantikan semula Dato’ Seri Ahmad atau anak Terengganu untuk menerajui dan menakhodai Umno Terengganu.

TEGANUKITA

berita penuh

27 December 2010

DATO’ SERI AHMAD SAID DILANTIK PENGERUSI PERHUBUNGAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, menggantikan Dato’ Sri Hishamudin Tun Hussien berkuatkuasa 1 Januari 2011.


Perkara ini diumumkan sendiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor hari ini (27 Disember 2010), di ibu negara.

Pengumuman itu telah menamatkan segala spekulasi. Sebelum ini Dato’ Seri Haji Ahmad telahpun memegang jawatan itu dan pelantikan semula itu bolehlah dianggap sebagai ‘sirih pulang ke gagang’.

Manakala Timbalan Pengerusi ialah Ketua Umno Bahagian Marang, YB Haji Yahya Khatib.

Tentang pelantikan jawatan-jawatan pegawai utama diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan seperti jawatan Setiausaha Perhubungan, Ketua Penerangan dan Bendahari.

Penyandang sekarang ialah YB Tengku Peutera Awang (Setiausaha), YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan) dan YB Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari).

Kalangan pendokong Umno di negeri ini amat mengalu-alukan pelantikan ‘anak negeri’ ini sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu sebagaimana yang banyak dizahirkan melalui usul-usul dalam mesyuarat Umno cawangan baru-baru ini.

Dato' Seri Ahmad ketika melahirkan ucapan amat berterima kasih kepada Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana memberi kepercayaan untuk memimpin Umno Terengganu.

"Saya dan rakan rakan dalam parti akan memberi tumpuan untuk terus memperkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 dan mempastikan kemenangan besar bagi Barisan Nasional," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar.

Katanya, tugas utama beliau juga adalah untuk memastikan rakyat terus memberi kepercayaan dan bersama Umno, terutama generasi muda, kerana golongan ini perlu diajak menghayati sejarah perjuangan Umno, iaitu untuk Agama,Bangsa dan Negara.


TEGANUKITA

berita penuh

26 December 2010

PMR Terengganu Melonjak Atasi Nasional

Oleh : AIDA ABD RAHMAN, Shahrir Abdul Hamid dan Raja Faisal Raja Haron

Terengganu terus menunjukkan lonjakan dalam prestasi peperiksaan awam apabila Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan hari ini merekodkan peningkatan dan pencapaian memberangsangkan.


Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud ketika sidang media di JPNT, Kuala Terengganu, berkata pencapaian A dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.69 peratus berbanding 7.12 peratus tahun lalu manakala minimum D mencatat peningkatan sebanyak 3.85 peratus daripada 63.38 peratus.

Malah, katanya nilai Gred Purata Mata Pelajaran Peringkat Negeri (GPMP) mengesahkan Terengganu mengatasi GPMP peringkat nasional bagi 11 mata pelajaran manakala Peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.58 berbanding 2.60 pada 2009 mengatasi Gred Purata Nasional 2.74.

Sementara itu, sekolah terbaik bagi PMR 2010 merupakan Sekolah Imtiaz Kuala Berang diikuti SM Imtiaz Besut dan SM Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu yang mendahului senarai sekolah dalam negeri.

Beliau berkata, keputusan PMR mampu meletakkan nama Terengganu terus unggul di peringkat nasional. Kebanyakan mata pelajaran PMR 2010 di Terengganu menunjukkan peningkatan daripada tahun sebelumnya.

Menurutnya, komitmen kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada JPNT mempengaruhi kecemerlangan pelajar dalam PMR 2010.

“Saya mengharapkan bantuan kerajaan akan bertambah agar JPNT dapat melaksanakan lebih banyak program kecemerlangan di sekolah-sekolah pada masa hadapan. Keunggulan Terengganu dalam PMR banyak dibantu oleh pengetua, guru, pelajar serta sikap cakna ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan terus digapai,” katanya.

TEGANUKITA

berita penuh

Ketua Polis Terengganu Bertukar Mulai 27 Disember

Oleh : SURIATI BINTI ALI, Raja Faisal dan Mohamad Shahrir (Pelatih)


Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1, Datuk Mohd Shukri Dahlan sempat berjumpa dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Mohd Shukri Dahlan akan menyerahkan jawatan kepada Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Jamshah Mustafa daripada Unit Pengurusan dan Latihan Persekutuan, Bukit Aman yang akan berkuatkuasa 27 Disember 2010.


Dalam satu majlis di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, beliau melahirkan rasa gembira apabila empat buah balai polis di Terengganu menerima anugerah ‘Big League Table’ kelolaan Kementerian Dalam Negeri Malaysia baru-baru ini.

Balai Polis Manir, Cabang Tiga dan Chendering mendahului senarai bagi Kuala Terengganu serta Balai Polis Chukai dari daerah Kemaman. “Big League Table menjadi pengukur kecemerlangan anggota polis dalam menjalankan tugas,” katanya lagi.

Beliau berharap balai polis baru akan dibina di Manir bagi menggantikan balai polis sedia ada.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang memberi sokongan sepanjang menjalankan tugas di Terengganu.

Beliau memuji langkah kerajaan negeri yang telah melancarkan kelab permotoran Terengganu sehingga telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada belia Terengganu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd.Najib di Stadium Tertutup Gong Badak.

“Kerajaan negeri menerima baik pandangan serta memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melahirkan remaja Terengganu bebas daripada gejala sosial yang tidak bermoral,” katanya kepada media, tengahari ini (22 Dis).

TEGANUKITA

berita penuh

Lima Belas Pegawai Tadbir Bertukar Mulai 1 Januari Depan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN dan Ruslan Abdul Rahman

Seramai 15 orang Pegawai Tadbir Negeri bertukar jawatan dalam satu rombakan kecil berikutan persaraan pegawai, berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Mereka terdiri Pengarah ECER Terengganu, Zulkifli Mohamad bertukar sebagai Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat), TATi Universiti College.


Manakala Pegawai Daerah Setiu, Mohd Akil Haji Mat ditukar kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej TESDEC dipinjamkan mengganti Dato’ Mohd.Alim Muda yang bercuti dan seterusnya bersara.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, mengumumkan kepada media di Pejabat Dewan Undangan Negeri, tengahari ini (22 Dis) sebaik selesai mesyuarat mingguan Exco Negeri.

Lain-lain adalah sebagai berikut:

Mohamad Nor Ibrahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu bertukar menjadi Pegawai Daerah Setiu.

Timbalan Pegawai Kewangan, Mustafar Khalid kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu,Harun Mohamad bertukar menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Abdul Rahman Yahya bertukar sebagai Timbalan Pegawai Kewangan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Dungun, Zainal Abidin Hussin bertukar sebagai Pegarah Majlis Sukan Negeri.

Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Pemantauan dan Pelaburan) Talaha Ali, berpindah menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu

Timbalan Pengarah (Sektoral), UPEN bertukar sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri, Rosdi Awang bertukar sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Baitumal), MAIDAM.

Ketua Penolong Setiausaha (Baitumal), MAIDAM, Johan Ibrahim bertukar sebagai Pengarah Bahagian Kehidmat Pengurusan, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan), Ahmad Awang bertukar sebagai Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Pemantauan dan Pelaburan)

Pengarah Perkhidmatan Perbandaran (MBKT) bertukar sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Rozali Salleh bertukar sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan) dan;

Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Perolehan dan Pembelian Aset) Tun Ahmad Faisal Tun Abd.Razak bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Sektoral), UPEN.

Dato’ Mazlan berkata, keseluruhan pegawai tadbir negeri ialah 203 orang dan telah menjalankan tugas dengan baik.

Beliau juga memberi tahu dua Pegawai Tadbri Negeri, Suriani Saad akan menjalankan tugas sebagai Pegawai Perhubungan MBKT dan Azmi Mohd.Dahan akan ditugaskan bagi Pembangunan Tasik Kenyir.

TEGANUKITA

berita penuh

TATiUC Jalin Kerjasama Akademik Rantau Asia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Bidang pengajaran dan penyelidikan Terengganu terus diperkasakan apabila Kolej Universiti Tati(TATiUC) berjaya menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kookmin, Korea Selatan dan Universiti MIE, Jepun.


Rektornya, Dr. Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan lawatan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman ke universiti itu bagi memperkemaskan kerjasama pertukaran pelajar dan teknologi serta perundingan penyelidikan.

Hasil kerjasama itu, kemudahan pembelajaran secara percuma beserta elaun dan geran biasiswa sepanjang pengajian disediakan bagi pensyarah untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD.

“Universiti berkenaan juga telah bersetuju untuk menerima pelajar dari negeri ini mengikut kuota yang telah dicadangkan seramai 10 pelajar setahun dalam bidang Pengajian Nano Teknologi dan Automotif,” katanya

Selain itu, kerjasama dalam bidang automotif akan terus diperluaskan memandangkan universiti berkenaan turut menjalankan kerjasama dan mendapat dana penyelidikan dari pihak industri automotif terkenal Korea iaitu Hyundai dan Kia Motor.

Manakala lawatan ke Universiti MIE pula susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara TATiUC dengan universiti berkenaan.

Katanya, dua orang pensyarah TATIUC turut diberi peluang menjalankan penyelidikan di universiti tersebut selama dua bulan dan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dengan pembiayaan pelajaran ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti itu.

Melalui MoU itu juga katanya, TATIUC akan menghantar pensyarahnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan mengadakan pertukaran pelajar peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan.

“Jalinan kerjasama itu TATiUC dengan dua universiti berkenaan dapat membantu memperkasakan program-program akademik serta bidang penyelidikan yang bermutu tinggi di negara kita,” katanya.

TEGANUKITA

berita penuh