Halaman

25 January 2011

Jersi Putih LTdL Milik Anuar

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketua Pasukan Terengganu ProAsia Cycling Team (TSG), Anuar Manan yang berjaya merampas jersi putih dari pelumba pasukan kebangsaan Korea Selatan, Park Sungbaek untuk dinobatkan sebagai juara semasa Asia, di peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, semalam (24 januari).

Jika kelmarin, rakan sepasukan Mohd Harrif Salleh berjaya mencuri tumpuan untuk berada di kedudukan ketiga sejurus tamat perlumbaan peringkat pertama, Anuar pula mengambil tempat di kedudukan yang sama dan menjejakkan kaki di podium, semalam.

"Sasaran saya ialah cuba mengumpul mata bagi jersi biru tetapi saya fikir memenangi gelaran Asia adalah bonus. Saya juga bernasib baik dan bertuah kerana tidak terbabit dalam kemalangan," kata Anuar.

Anuar berkata, jika tidak kerana kehilangan tenaga akibat mengejar pelumba lain di hadapan selepas tergaanggu kerana perlanggaran melibatkan beberapa pelumba pasukan lain, dia mungkin mampu menamatkan perlumbaan selaku juara.

“Saya akan cuba memungut seberapa banyak mata esok (hari ini) kerana sasaran saya kini adalah memenangi jersi biru,” kata anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu.

Oleh kerana tidak akan wujud zon bukit pada perlumbaan itu, gelaran Raja Bukit (jersi merah) dikekalkan oleh pelumba pasukan Skil Shimano Cycyling Team, Koen De Kort dengan mengumpul enam mata.

Sementara itu, pasukan benua Malaysia, Terengganu Pro Asia Cycling (TSG) mendahului 23 pasukan lain dalam kategori Asia selepas mengumpul catatan masa 16 jam 29 minit 42 saat.

Hari ini akan berlangsung perlumbaan peringkat ketiga dan menyaksikan kayuhan sejauh 144.9 kilometer dari Taiping ke Sitiawan dengan satu zon bukit di Bukit Gantang dan tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Beruas dan Pantai Remis.

TEGANUKITA