Halaman

18 January 2011

Rombakan Kecil Badan Perhubungan Umno Negeri Akan Diumum Segera

Oleh: Kamarudin bin Mat Akib

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, satu rombakan kecil akan dilakukan dalam Badan Perhubungan Umno Negeri bagi mengukuhkan lagi jentera parti.

Menteri Besar Terengganu itu telah memaklumkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu pertemuan di Putrajaya, pagi semalam.

"Saya akan maklumkan perubahan tersebut pada mesyuarat Badan Perhubungan negeri yang pertama nanti, yang mungkin akan diadakan dalam bulan ini juga," katanya kepada pemberita di Putrajaya, semalam.

Sebelum itu, beliau menerima penyerahan tugas selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang jawatan tersebut sejak April 2009.

Dato’ Seri Ahmad dilantik semula memegang jawatan itu dalam satu rombakan pucuk pimpinan parti di beberapa buah negeri yang diumum Najib selaku Persiden Umno pada 27 Dis lepas.

Beliau berikrar untuk memastikan Umno terus kukuh di Terengganu dalam usaha merampas semula beberapa kerusi, terutama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dipegang pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun ada pepatah mengatakan bahawa 'indah khabar dari rupa' tetapi apa yang berlaku di Terengganu adalah 'indah rupa dari khabar'.

"Maknanya Umno Terengganu taklah seburuk yang digambarkan oleh orang dan saya bersedia melakukan apa sahaja demi kemenangan Barisan Nasional," katanya.

Sementara itu, Dato Seri Hishammuddin berkata perbincangan peringkat asas mengenai perkara yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) Umno Terengganu kini hampir selesai.

Beliau juga berharap segala perancangan yang dibuat sebelum ini diteruskan dan anggota parti terus memantapkan parti dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

"Saya mahu setiap ahli akan memikul tanggungjawab ini secara bersama dan sekiranya kita terus meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri atau puak masing-masing segala permasalahan akan dapat diselesaikan," katanya.


TEGANUKITA