Halaman

18 January 2011

Terengganu Sedia Bajet Besar Untuk Pendidikan

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan di bidang pendidikan yang jauh lebih besar berbanding negeri-negeri lain walaupun bilangan penduduk Terengganu agak kecil jika dibanding dengan negeri berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata lebih RM37 juta disediakan untuk biasiswa dan pinjaman pelajaran kepada pelajar tempatan sepanjang tahun lalu, iaitu jumlah dua kali ganda lebih besar dari negeri lain yang mempunyai penduduk jauh lebih besar dari Terengganu.

Katanya, lebih RM100 juta disalurkan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) pada tahun lalu untuk diagihkan kepada pelajar cemerlang dalam pelbagai bentuk pemberian dan pembiayaan pelajaran.

“Kerajaan lakukan ini semua bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding negeri-negeri lain,” katanya di majlis Penganugerahan Pingat Emas Dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (18 Januari).

Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarah YT, Haji Aziz Mamat.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini, khususnya ibu bapa pelajar perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri bagi memastikan pelbagai agenda untuk memasrtbatkan bidang pendidikan di negeri ini diteruskan lagi.

Seramai 959 pelajar cemerlang dalam pelbagai peperiksaan awam diraikan pada majlis itu dengan kos pembiayaan keseluruhan bernilai RM798,440.

TEGANUKITA