Halaman

17 January 2011

UMT Wujud Insentif Baru Untuk Kakitangannya

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan satu insentif baru iaitu program lawatan sambil belajar ke universiti atau institusi pendidikan di luar negara, kepada semua kakitangannya, mulai tahun ini.

Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata, lawatan itu bertujuan memberi peluang kepada ahli akademik, pegawai pengurusan dan kakitangan sokongan menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi kerjaya masing-masing.

"Kita harap selain daripada ahli akademik dan pegawai pengurusan, kakitangan sokongan pun boleh menimba pengalaman dan meningkatkan kerjaya melalui program ini," katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya, melalui program ini, UMT berharap dapat menghantar antara 200 dan 300 orang setahun di mana dalam tempoh lima tahun, mungkin semua kakitangan UMT telah dan pernah mendapat pengalaman di luar negara.

Aziz berkata, UMT akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,500 seorang untuk satu perjalanan manakala selebihnya akan ditanggung sendiri oleh mereka yang terlibat.

Beliau berkata, UMT mempunyai kira-kira 1,000 kakitangan dan program ini menggalakkan mereka pergi secara berkumpulan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata UMT bercadang untuk menghantar antara 30 dan 50 kakitangan membuat latihan industri tahun ini dengan syarikat-syarikat besar dan terpilih dalam negara.

"Mereka akan ditempatkan di syarikat-syarikat berkenaan antara sebulan dan dua bulan untuk menimba pengalaman dan belajar perkara-perkara baru bagi membantu meningkatkan kerjaya mereka.

"Sebagai contoh, mungkin pegawai sukan akan dihantar ke pusat sukan negara. Kalau ahli akademik di bidang kimia misalnya, mereka akan dihantar ke industri berkaitan kimia seperti Guthrie manakala di bidang pengurusan mungkin akan dihantar ke AirAsia," katanya.

-- BERNAMA