Halaman

17 January 2011

YPU Adakan Promosi Batik Dan Songket Di Timur Tengah

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Selepas mengadakan promosi batik dan songket Terengganu ke Eropah, kini Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengadakan promosi yang serupa ke negara-negara Timur Tengah pula.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata langkah itu bertujuan supaya batik dan songket Terengganu berkembang serta terkenal di seluruh dunia.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Fesyen, Tekstil serta Pasaran Songket dan Batik Terengganu di Eropah, beliau berkata tahun lepas kerajaan negeri menghantar rombongan tediri daripada pengusaha batik dan songket untuk membuat promosi antaranya di Barcelona, Itali dan London.

Katanya hasil daripada promosi itu, ramai pengusaha pakaian terkemuka di negara-negara tersebut menunjukkan minat untuk menggunakan batik dan songket dalam ciptaan mereka.

Beliau berkata produk songket dan batik semakin kreatif dan kerajaan negeri Terengganu sentiasa berusaha untuk mendapatkan peluang pasaran di peringkat antarabangsa.

Azmi berkata awal 1990-an, songket dan batik Terengganu jatuh kerana beberapa sebab antaranya kurang daya kreativiti khususnya dalam rekaan dan kurang pemahaman tentang perkembangan citarasa pasaran.

Menyedari perkara itu, beliau berkata kerajaan negeri memberi perhatian terhadap songket dan batik melalui promosi, galakan dana bimbingan terhadap rekaan dan reka bentuk yang mengikuti trend serta citarasa pasaran.

Beliau berkata seminar sehari itu diadakan khusus untuk pengusaha-pengusaha songket dan batik mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang potensi pasaran songket dan batik di luar negara.

Kira-kira 100 penggiat songket dan batik di Terengganu menyertai seminar berkenaan.

-- BERNAMA