Halaman

16 February 2011

Agihan pakaian sekolah ditangguh

oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menangguh cadangan untuk mengagihkan pakaian sekolah menengah dan rendah kepada pelajar di negeri ini disebabkan masalah pertindihan nama mereka yang layak menerima bantuan berkenaan.

Proses pengagihan bantuan berkenaan dijangka dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi selepas kira-kira 2,654 nama pelajar yang bertindih dalam permohonan bagi tujuan itu selesai disemak semula.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri tidak menolak terdapat pihak atau penjaga yang ingin mengambil kesempatan terhadap sumbangan yang hanya diperuntukkan untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

Katanya, daripada peruntukan itu, RM100 untuk pelajar sekolah menengah manakala RM100 lagi untuk sekolah rendah.

“Mereka tidak boleh menipu kerana kerajaan negeri boleh mengesan nombor pengenalan setiap pemohon menggunakan sistem khas.

“Selain itu, terdapat juga salah faham antara ibu bapa yang sudah bercerai di mana mereka mengemukakan dua permohonan berlainan. Sebilangan kecil lagi, permohonan dibuat oleh datuk atau penjaga pelajar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (16 Februari).

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu, agihan atau peruntukan ini mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi selepas siap mengemaskini nama dan data yang sepatutnya.

“Pihaknya menerima sebanyak 106,000 permohonan daripada pelajar di seluruh negeri ini. Selepas mengemaskini data, hanya 102,000 pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja yang layak kerana mengikut syarat yang ditetapkan.

“Pelajar yang mempunyai pendapatan keluarga yang kurang RM1,200 sebulan sahaja layak untuk menerima sumbangan ini,” katanya.

TEGANUKITA