Halaman

15 February 2011

Bayi Permata Maulidur Rasul

Oleh: Esah Abdullah



Detik bersejarah bagi pasangan suami-isteri, Mohd Imran Salleh,34 dan Norizan Mokhtar, 25, bila bayi sulung mereka lahir pada 12 Rabiul Awal bersamaan dengan tarikh kelahiran junjungan Nabi Muhamad S.A.W. dan bergelar Bayi Permata Maulidur Rasul.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya dan ini merupakan saat paling gembira, moga anak saya jadi seorang insan beriman bila besar nanti,” kata Norizan yang akan berbincang dengan suami untuk menamakan bayi mereka.



Norizan berasal dari Kemaman dan suaminya asal Kuala Terengganu, melahirkan seorang bayi lelaki secara normal pada pukul 1.00 pagi, seberat 2.85 kilogram (kg) iaitu awal empat hari dari tarikh jangkaan sebenar.

Pengalaman sama turut dikongsi Puan Nurunaha Hasshim, 29, dari Bukit Payong, Marang, yang melahirkan anak keduanya pada tarikh bersejarah itu disambut gembira suaminya, Roslan Hassan, 30.

Bayi lelaki seberat 2.92 kg merupakan bayi pertama dalam catatan rekod HSNZ lahir jam 7.49 malam bersamaan 12 Rabiul Awal dan merupakan anak kedua bagi pasangan ini.

Manakala seorang ibu muda, Puan Nor Syahida Abdullah, 18, dari Kampung Pasir Tinggi, Bukit Payong selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.82 kg, jam 12.08 malam.



Sebelum ini, beliau dan suaminya Mohd saiful Bahari, 24, yang merupakan makanik sudah mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun tiga bulan.

“Saya tidak sangka kerana kandungan saya sudah lewat 10 hari dari tarikh jangkaan, sebaliknya lahir ke dunia pada tarikh yang bersejarah ini, saya dan suami bersyukur kepada Allah S.W.T moga kehidupan kami terus diberkati hingga ke akhirnya,” katanya.

Dalam rekod Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) terdapat 26 kelahiran bayi iaitu 17 perempuan dan sembilan lelaki dan jumlah berkenaan tidak termasuk yang lahir di hospital daerah-daerah.

TEGANUKITA