Halaman

21 February 2011

Gandingan semua pihak petua kecemerlangan

Oleh: Suriati Ali

Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa, warga pendidik dan pemimpin masyarakat adalah resipi paling penting untuk menghasilkan pelajar berkualiti tinggi dan cemerlang dalam setiap peperiksaan bulanan dan umum.

Kemuncak kesungguhan itu membolehkan Terengganu muncul juara pelbagai peperiksaan utama seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah(PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini diakui sendiri oleh beberapa pengetua yang berada dalam senarai sekolah cemerlang dalam STPM 2010 dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) turut meningkat.

Pengetua SMK Bukit Payong, Besut, Hajah Hamidah Mohamad berkata, bukan mudah untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap peperiksaan, sekiranya tiada komitmen dan kerjasama daripada semua pihak.

“Guru dan ibu bapa adalah individu paling istimewa bagi diri setiap pelajar, jika tiada dorongan dan sokongan daripada mereka , mustahil pelajar akan memperoleh keputusan cemerlang.

“Tiada petua khas diamalkan guru tingkatan enam sehingga membolehkan sekolah ini berjaya menduduki senarai sekolah kedua terbaik negeri,” katanya ketika dihubungi pemberita Tegtanukita.

Katanya, pendekatan mengadakan kem motivasi secara berkala dengan membawa calon STPM keluar mendalami ilmu di beberapa lokasi menarik seperti di Pulau Perhentian dan lokasi perkelahan mungkin menjadi faktor utama kejayaan.

“Saya bersyukur dengan kejayaan yang tidak diduga ini dan tahniah kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang.

“Warga sekolah mendoakan mereka supaya terus mengekalkan kecemerlangan sehingga berjaya menyambung pelajaran sehingga ke menara gading dan seterusnya memperoleh kerjaya yang diimpikan,” katanya.

Pengetua SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu Encik Ruslan Awang , berkata kejayaan diperoleh sekolah kami adalah gandingan semua pihak, terutama pemimpin setempat iaitu Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman yang banyak memberi sumbangan dan sokongan moral.

“Sokongan dan dorongan itu dipegang kuat oleh kami sebagai warga sekolah dengan melakukan pelbagai usaha termasuk mewujudkan aktiviti belajar secara berkumpulan.

“Pelaksanaan ini mampu membuahkan hasil apabila SMK Ibrahim Fiktri turut berada di antara sekolah terbaik negeri yang mendapat keputusan 100 peratus lulus dalam STPM 2010,” katanya.

TEGANUKITA