Halaman

28 February 2011

Imam dan bilal diminta kurangkan polemik agama

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Imam dan bilal di seluruh negeri diminta agar mengurangkan polemik mengenai Islam, sebaliknya mereka perlu mengupas maksud ayat-ayat suci al-Quran bagi memperkasa ummah dalam pelbagai bidang yang mencabar kewibawaan umat Islam sebagai umat yang progresif.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sebagai pemimpin golongan itu bertanggungjawab untuk membawa generasi pewaris bukan hanya ke jalan yang diredhai Allah s.w.t, tetapi memberi semangat kepada mereka untuk menjadi rakyat yang dapat membantu membangunkan negara.

“Imam dan bilal merupakan golongan yang mampu mencorakkan pemikiran rakyat. Mereka juga merupakan agen penting dalam menyampaikan hasrat kerajaan memajukan negeri dan membina ummah yang berdaya maju” katanya ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif : Multaqa YAB Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Haji Nuh dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Kira-kira 1,800 orang imam, bilal, ahli jawatankuasa masjid dan ketua-ketua jabatan hadir pada majlis tersebut.

MenteriBesar menegaskan orang bukan Islam tidak berbalah kerana agama mereka, malah mereka bersatu jika ada bencana menimpa atau rasa terancam.

“Mengapa orang Islam tidak boleh bersatu seperti mereka? Mengapakah kerana hanya tidak bersependapat mengenai perkara-perkara cabang dalam Islam kita mula memusuhi saudara Islam kita sendiri,” kata beliau.

Beliau berkata, di sinilah letaknya amanah dan kepercayaan kerajaan kepada imam dan bilal untuk memainkan peranan mendidik masyarakat dengan mengelak diri mereka daripada berpolemik menggunakan agama sehingga masa depan anak-anak qariah mereka musnah.

Menteri Besar turut meminta warga Imam dan Bilal supaya memberi penerangan yang jelas kepada anak-anak qariah mereka agar tidak dikelirukan oleh golongan yang berniat jahat kepada kerajaan.