Halaman

28 February 2011

Kawat, Pesat Sepakat Naikkan Imej Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Hasil pertemuan pertama Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dengan Persatuan Anak –anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) mencapai kata sepakat bagi menjana program yang mampu mendatangkan faedah bersama serta menaikkan imej Terengganu di mata masyarakat dan dunia luar.

Majlis perjumpaan sempena program Retreat Media Kuala Lumpur-Jakarta melibatkan 22 ahli serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Kawat yang diketuai Presidennya, Encik Ayob Mamat.
Sementara Yang Dipertua Pesat, Haji Ramlan Ibrahim pula mengetuai badan bukan kerajaan itu dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam di Ibu Pejabat Pesat, The Strand, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Encik Ayob berkata, pertemuan itu berupaya mengeratkan silaturrahim antara kepimpinan dan AJK kedua-dua persatuan yang saling berkesalinan dalam membentuk misi dan hasrat penubuhan masing-masing.

Malah, Kawat turut berbesar hati dan teruja untuk menjadikan Pesat sebagai rakan media Kawat, sekaligus sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dalam mempopularkan persatuan itu bukan sahaja di Selangor dan Wilayah Persekutuan, bahkan seluruh Malaysia.

Katanya, Kawat akan berusaha merangka pelbagai program dengan Pesat yang tidak hanya berlangsung di Kuala Lumpur, sebaliknya turut dijalankan di Terengganu dan mengalu-alukan ahli Pesat untuk `balik kampung’ bagi melancarkan program itu kelak.

“Antara program terdekat yang bakal dilaksanakan kedua-dua persatuan ini adalah pertandingan mencari gambar bersejarah Terengganu untuk diabadikan sebagai koleksi, sumber rujukan dan bahan pameran. Usaha itu dilihat mampu bagi memperkenalkan Terengganu dan sejarah negeri dengan lebih dekat kepada generasi muda dan masyarakat seluruh Malaysia amnya,” katanya.

Katanya, perbincangan dan pertemuan susulan kali kedua akan diadakan dalam masa terdekat di Kuala Terengganu bagi memperincikan perjalanan dan pengurusan program itu serta pelbagai program lain.