Halaman

13 February 2011

Kelas maya di setiap DUN

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan negeri akan terus memperluaskan konsep kelas maya, sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula tahun depan. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri akan terus memperluaskan konsep kelas maya, sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said,
berkata berdasarkan perkembangan positif yang sudah diperkasakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu, di mana pelajar sekolah itu semangat dan seronok meneroka ilmu, sewajarnya berbuat demikian secara peringkat.

“Selain SK Paya Bunga, dua buah sekolah lagi iaitu SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Telok Kalong, Kemaman bakal menggunakan konsep sama dalam masa terdekat apabila siap proses pemasangan talian internet dan beberapa kelengkapan lain.

“Saya mengakui setiap pelajar sememangnya meminati bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), faktor ini menjadi pendorong kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk memperkenalkan e-Book dan kelas maya,” katanya.

Sejumlah RM30,000 diperuntukkan bagi setiap kelas maya, sekiranya konsep seumpama itu diperluaskan satu sekolah di setiap DUN, hampir RM1 juta bakal dibelanjakan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri sanggup membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun semata-mata ingin melihat kejayaan pelajar dan seterusnya memiliki kerjaya yang diimpikan.

“Pendidikan merupakan perkara paling penting dalam setiap kehidupan setiap insan, melaluinya kita mampu memiliki kerjaya yang diimpikan dan seterusnya merasai kenikmatan dan keselesaan hidup.

“Oleh itu, kerajaan negeri berusaha mengubah minda masyarakat terutama golongan ibu bapa yang masih di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) supaya mementingkan soal pendidikan anak-anak,” katanya.

Menurut, pendekatan ini mampu mengeluarkan mereka daripada kelompok PPRT dan secara tidak langsung graf atau data kemiskinan akan berkurangan secara berperingkat.

TEGANUKITA