Halaman

23 February 2011

Kemudahan Sekolah Bukan Asas Cipta Kejayaan


YB Ahmad Razif melihat buku di perpustakaan Imtiaz ketika melakukan lawatan ke sekolah itu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.
Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB

Pelbagai kemudahan asas dan pembelajaran yang disediakan di sekolah-sekolah bukan asas untuk sesebuah berkenaan mencipta kejayaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sebaliknya, kata beliau, ada sekolah yang menghadapi serba kekurangan di segi kemudahan belajar dan tempat tinggal pelajar, mampu mencipta kejayaan luar biasa dalam pelbagai peperiksaan.

Contoh terbaik, katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja yang menghadapi pelbagai masalah seperti ruang sekolah dan asrama yang terlalu sesak, tidak cukup kelas dan kemudahan bilik air, mampu mencipta kejayaan luar biasa dan menjadi antara sekolah terbaik di negeri ini.

Sekolah tersebut diberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran kerana pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang dan juga menjadi sekolah terbaik di kalangan Sekolah Menengah Agama di Terengganu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.



“Pendidikan tidak bergantung kepada kemudahan yang disediakan di sekolah, tetapi ia bergantung kepada usaha gigih guru-guru dan pelajar untuk meraih kejayaan. Ini dibuktikan oleh Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang menghadapi pelbaagi kesukaran kerana bilangan pelajar semakin bertambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan tidak rasmi ke sekolah itu hari ini. Sekumpulan wartawan dan jurugambar dari pelbaagi organisasi media turut serta dalam lawatan ke Sekolah Menengah Imtiaz itu dan Taman Ilmu di Kampung Tembila, anjuran Unit Komunikasi Negeri.



YB Haji Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri tidak mengabaikan keperluan dan kebajikan pelajar di sekolah-sekolah Imtiaz di negeri ini, sebaliknya usaha-usaha sedang diambil bagi menambah nilai pelbagai keperluan di sekolah berkenaan.

Malah, pihaknya bercadang untuk mewujudkan sekolah Imtiaz di daerah lain yang belum ada institusi tersebut yang diwujudkan bagi melahirkan hafiz dan hafizah.
TEGANUKITA