Halaman

16 February 2011

Kerajaan negeri tubuh Kelab Permata Maulidur Rasul

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Khazan bersama Dato' Mazlan Ngah ketika melawat bayi Permata Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan Kelab Permata Maulidur Rasul bagi mengumpul anak-anak yang dilahirkan pada 12 Rabiul Awal bersamaan dengan tarikh kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

“Mungkin empat lima tahun akan datang dan kita akan atur pelbagai aktiviti yang bersesuai dengan usia mereka termasuk menyertai perarakan pada sambutan Maulidur Rasul,” kata Pengerusi jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat kepada pemberita selepas membuat kunjungan ke wad bersalin Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) program Permata Maulidur Rasul petang semalam (16 Februari).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Shaikh Harun Ismail dan Timbalan Pengarah Klinikal HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus.

Katanya, program Permata Maulidur Rasul ini baru masuk tahun kedua di mana tahun lalu terdapat 70 orang bayi permata dan tahun ini 26 bayi lagi lahir di Hospital Kuala Terengganu dan jumlah ini belum dicampur dengan hospital daerah-daerah.



“Usaha ini di harap dapat menyemarakkan suasana sambutan di samping mengadakan ceramah-ceramah di masjid dan surau serta marhaban, kelahiran bayi juga memberi seribu satu perasaan kepada pasangan suami isteri,” katanya.

Katanya, Ibu bapa yang mendapat bayi pada tarkih berkenaan akan lebih terasa dan perlu mendidik dan membina keperibadian anak mereka seperti yang dianjur dalam Islam.

Haji Khazan kemudiannya menyampaikan hamper dan bantuan lain kepada bayi-bayi yang dianggap sebagai permata di wad satu HSNZ sambil berharap dapat menyinari kehidupan keluarga, bangsa dan negara.

TEGANUKITA