Halaman

01 February 2011

Konsep Baru Cegah Jenayah

Oleh : Aida Abd Rahman

Satu konsep baru bakal diperkenalkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dalam usaha pencegahan jenayah iaitu mereka bentuk persekitaran.

Naib Pengerusi MCPF , Tan Sri Lee Lam Thye, berkata konsep baru yang akan dilaksanakan secara meluas itu bagi menggembleng tenaga masyarakat ke arah usaha pencegahan jenayah.

Katanya, penglibatan semua pihak termasuk di taman-taman atau persatuan perumahan, institusi profesional seperti arkitek atau unit perancang bandar diperlukan bagi melaksanakan konsep ini dengan berkesan.

"Ini bermakna setiap pembinaan yang dirancang akan diambil kira persekitarannya supaya tidak terselindung yang boleh mengurangkan risiko jenayah," katanya selepas merasmikan laman web Yayasan Pencegahan Jenayah negeri Terengganu, kelmarin (31 Januari).

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata konsep ini terbukti berkesan dan popular di negara barat kerana membawa kesan positif selain berkesan membantu mencegah jenayah.

MCPF tahun ini memfokuskan lebih banyak penubuhan kelab-kelab pencegahan jenayah di sekolah-sekolah kerana golongan ini merupakan aset penting yang bakal menjadi pemimpin negara satu masa nanti.

Sebanyak 70 sekolah di Terengganu menubuhkan kelab pencegahan jenayah masing-masing iaitu 136 sekolah menengah dan 306 sekolah rendah.




TEGANUKITA