Halaman

07 February 2011

LADANG GEMILANG…MENGAPA?

Gambar atas: MB sendiri turun padang memastikan pembinaan pangsapuri sempurna dan selesa. Gambar bawah: Orang ramai melihat sendiri pelan perancangan pangsapuri Ladang Gemilang.

Bahagian 2

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Meskipun betapa caknanya kerajaan terhadap usaha membangunkan masyarakat Ladang supaya dapat menikmati sama pembangunan yang berada di Bandaraya Kuala Terengganu, tetapi kerana permainan politik dan manipulasi pembangkang, kadang-kadang ada yang berasa gelisah apakah yang kerajaan buat tidak betul?

Tiada kerajaan yang baik seperti Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada semua orang untuk mengecapi nikmat pembangunan walaupun mereka menumpang. Di negeri seperti Pulau Pinang, misalnya dalam pembangunan kampung Pala, mereka diusir keluar begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk menempatkan mereka di mana-mana, jauh sekali untuk membayar saguhati ehsan.

Oleh itu, Teganukita cuba memudahkan jawapan segalanya melalui pendekatan soal-jawab:

SOALAN: Mengapa dalam proses ambil balik tanah dan bayaran pampasan tidak sama jumlah hingga ada yang mendakwa; ada yang mendapat bayaran banyak (ratusan ribu ringgit) ada yang sedikit (ribu ringgit sahaja).

JAWAPAN: Tidak semua orang terbabit dengan bayaran pampasan. Mereka yang mempunyai rumah dan tanah milik persendirian tentulah mendapat bayaran pampasan dengan jumlah tertentu selaras dengan penilaian yang dibuat. Yang dapat sedikit itu bukan pampasan, tetapi bayaran saguhati ehsan kerana mereka adalah yang menumpang di tanah kerajaan milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) khususnya yang tinggal di tanah wakaf Ladang Tok Pelam.

Walaupun mereka menumpang tanah kerajaan tetapi mereka tetap mendapat bayaran ehsan dari kerajaan, malah diberi tawaran untuk berpindah ke pangsapuri Ladang Gemilang itu, bukannya dihalau.

Yang telah mendapat bayaran pampasan pun kerajaan membenarkan mereka mengambil aset itu malah boleh jual pula kayu-kayu dan pelbagai perkakasan yang telah dibayar oleh kerajaan itu.


Nilai pampasan berbeza pula kerana penilaian dibuat bukan ke atas tanah sahaja, tetapi termasuk bangunan di atas tanah itu; sebab itulah wujud jumlah bayaran pampasan yang berbeza, yang ada bangunan tentulah mendapat bayaran lebih dari tanah kosong dan bangunan itu pula ada penilaian tertentu juga yang menjadikan bayaran berbeza juga.

SOALAN: BENARKAH BAYARAN SEWA DI PANGSAPURI TRANSIT ITU MAHAL DAN MEREKA TIDAK MAMPU MEMBAYARNYA KERANA KEMISKINAN HIDUP?

JAWAPAN: Sewa RM300 sebulan itu tidak mahal, jauh murah kerana tiga bilik tidur dan dua bilik air. Kalau harga sewa sebenar tentulah RM700 atau RM800 sebulan. Yang tidak bermampuan dan cukup syarat diberikan pula subsidi bayaran sewa rumah itu.

Di sini ada juga yang harganya RM800 tetapi merupakan pangsapuri kos sederhana mengandungi 4 bilik tidur.

SOALAN: MENGAPA MEREKA TIDAK BOLEH MILIK KE ATAS RUMAH ITU DAN RUMAH ITU HANYA UNTUK TRANSIT?

JAWAPAN: Betullah untuk sementara (transit) dan apabila bangunan Ladang Gemilang kedua siap mereka akan diberikan hak milik secara sewa-beli. Transit bermakna sementara kerajaan membina bangunan di tanah yang membabitkan pengambil-balik dan perpindahan mereka itu, maka mereka diberi peluang untuk menyewa di pangsapuri transit itu.

SOALAN: SELEPAS SIAP DAN DAN MEREKA BERPINDAH KE PANGSAPURI LADANG GEMILANG KEDUA, APAKAH PANGSAPURI TRANSIT ITU AKAN DIKOSONGKAN?

JAWAPAN: Kerajaan mempunyai perancangan pembangunan di lain-lain tempat sekitar lagi, termasuk di Tanjung Kapur dan sebagainya. Pangsapuri transit itu juga akan digunakan untuk perpindahan sementara mereka sebagaimana kaedah yang digunakan di Kampung Ladang.

SOALAN: MENGAPA ADA YANG MASIH TAK PUAS HATI DAN MELAKUKAN TINDAKAN MENGHANTAR MEMORANDUM DAN SEBAGAINYA.

JAWAPAN: Biasalah kerana mereka adalah dari kalangan yang suka membangkang, apatah lagi di belakang mereka ada parti politik tertentu yang menjadi ‘dalang’ untuk membangkit pelbagai rasa tidak puas hati. Ramai di antara penghuni di situ tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan dan ia dilakukan tanpa izin mereka.

TEGANUKITA