Halaman

23 February 2011

Negeri Anjung Ilmu Perkasakan Seni Khat

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Zubir menunjukkan iklan pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam pada 12 hingga 13 Mac ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Terengganu yang sering melakar kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan awam di negara ini sehingga dominan dengan jolokan `negeri anjung ilmu’ terus mengorak langkah memartabatkan satu lagi aspek ilmu apabila menganjurkan pertandingan seni khat peringkat kebangsaan pada 12 hingga 13 Mac depan.

Pertandingan yang julung kali diadakan dengan tema `Inspirasi Seni Khat TTI’ yang dianjurkan Persatuan Seni Khat Malaysia dengan kerjasama penuh Kerajaan Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM61,000 bakal disertai lebih 300 peserta dari seluruh Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa pertandingan, Dato’ Zubir Embong, berkata program di Taman Tamadun Islam menjurus kepada pameran, seminar dan juga pertandingan seni khat yang bakal melibatkan penyertaan penggiat, pengkarya dan peminat seni khat dari seluruh negara.

Katanya, dua kategori ditawarkan dalam pertandingan, iaitu spontan (terbuka) bagi 18 tahun ke atas dan spontan (sekolah) bagi yang berusia 13 hingga 18 tahun dengan syarat-syarat tertentu dengan menonjolkan karya khat yang popular termasuk Thuluth, Kufi, Nasakh dan Diwani.

Tokoh kaligrafi Islam, Profesor Dr Muhammad Bukhari Lubis dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) akan mengemukakan ucaptama pada program itu, selain kemunculan tokoh kaligrafi terkenal dunia dari Syria, Adnan Sheikh Osman sepanjang seminar bagi berkongsi ilmu penulisan kepada peserta pertandingan ini.

Beliau berkata, program itu akan menjadi forum untuk memperkasakan dan menanam minat supaya kecintaan terhadap khat subur di kalangan masyarakat khususnya golongan muda serta program ini dapat membuka mata masyarakat mengenai keindahan, rahsia dan nilai tulisan jawi atau khat ini kepada masyarakat Islam.

“YAB Menteri Besar cukup berminat dengan program ini, yang mana beliau turut menyediakan satu pialakhas dinamakan `Piala Menteri Besar Terengganu’ sebagai piala iringan pertandingan yang dijangka diadakan secara tahunan,” katanya ketika sidang akhbar mengenai program itu, di Dewan Konvensyen TTI, di Pulau wan Man, Kuala Terengganu, petang semalam (22 Februari).

Hadir sama, Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman.

Katanya, seni khat memang sinonim dengan Terengganu dan TTI yang memiliki senibina dan monumen bercirikan tulisan dan ayat penting dalam al-Quran serta syair Arab terkenal.

Malah, Batu Bersurat yang berasal dari Terengganu turut membuktikan sejarah kedatangan Islam ke rantau Nusantara yang bermula dengan kecelikan masyarakat terdahulu dengan tulisan rasmi bangsa Melayu itu.

“Tulisan jawi ini sebenarnya tulisan rasmi bagi bangsa Melayu yang semakin jauh dengan masyarakat, kalau dulu ia dianggap sebagai tulisan rasmi tetapi kini ia tidak lagi dianggap sedemikian, maka kelihatan tulisan jawi kian jauh dan bimbang pupus. Kalau pulus tulisan ini, maka bangsa Melayu juga turut sama menerima akibatnya,” katanya.

Katanya, maka pendekatan itu dilaksanakan bagi melestarikan serta memperkasakannya semula kerana bimbang ia semakin dilupakan generasi kini.



TEGANUKITA