Halaman

01 February 2011

Pelajar Terengganu di Mesir selamat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 233 pelajar negeri ini di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang sedang menuntut di Mesir yang kini sedang bergolak, dilaporkan berada dalam keadaan selamat.



Pengarah YT, Haji Aziz Mamat berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan pelajar di negara itu dengan cara menghubungi pihak kedutaan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai mereka.


Pada masa yang sama, tambah beliau, pihak YT turut memantau perkembangan di negara yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang menuntut Presiden mereka meletak jawatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pelajar tidak terjejas.



Kesemua pelajar yang sedang menuntut di Mansurah, Iskandariah dan Kaherah dinasihatkan agar tinggal di asrama masing-masing dan tidak keluar ke mana-mana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Haji Aziz berkata, pada masa ini pihaknya difahahamkan pergolakan di Mesir sudah sampai ke tahap oren (peringkat kedua) dari kuning (peringkat pertama). Jika sekiranya tahap tersebut sampai ke tahap merah (peringkat ketiga dan kritikal), semua pelajar Malaysia akan dibawa keluar dari negara berkenaan.

Bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pergolakan itu, YT menghantar Penolong Pengarahnya, Encik Razali Mahmud ke Wisma Putra di Putrajaya, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelajar Terengganu yang berada di Mesir.



Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay telah berlepas ke Kaherah bagi mengetuai sepasukan lima pegawai untuk meninjau tahap keselamatan para pelajar, sekaligus merangka pelan kontigensi bagi menyelamatkan rakyat Malaysia, termasuk pelajar di Mesir.

TEGANUKITA