Halaman

09 February 2011

Pertandingan Ubah Lanskap Kampung Cina

Oleh: Aida Abd Rahman

Kampung Cina yang diwartakan sebagai Kampung Warisan akan berubah wajah apabila pertandingan mengindahkan produk pelancongan Terengganu itu bakal diadakan tidak lama lagi.

Usaha yang digembeleng Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) bagi memastikan Kampung Cina terus mendapat perhatian dan alternatif tarikan pelancong kerana memiliki identiti yang tersendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw, berkata pihaknya akan menyediakan garis panduan dan konsep tertentu mengenai Kampung Cina serta hala tuju pembangunannya dalam kertas kerja yang sedang disiapkan bagi pertandingan yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia itu.

Katanya, semua pihak dijemput menyertai pertandingan yang menyediakan hadiah yang menarik itu termasuk individu atau kumpulan daripada sekolah seni dan reka bentuk, arkitek, fakulti arkitek di universiti serta pihak profesional lain.

“Kita akan menyediakan skop rekabentuk berkaitan Kampung Cina dan hala tuju, manakala peserta pertandingan bebas menggunakan kreativiti dan cara mereka untuk mengindahkan Kampung Cina termasuk penggunaan bahan dan struktur tambahan kepada bangunan sedia ada untuk menghasilkan keputusan yang lebih cantik dan menarik,” katanya ketika ditemui Teganukita, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, berkata dengan pertandingan yang julung kali dilaksanakan itu nanti, pihaknya berharap Kampung Cina akan lebih menjadi tumpuan pelancong, sebagaimana mercu tanda Terengganu, Masjid Kristal yang mempunyai lambang dan identiti yang tidak menyamai mana-mana tempat lain.

YB Toh berkata, sejak 2005 banyak peruntukan yang disalurkan pelbagai agensi seperti MBKT bagi mencantikkan lagi kawasan itu khususnya menambah dan menukar lampu hiasan serta menyediakan cat percuma kepada penduduk bagi mengecat semula bangunan selain mendapat sumbangan cat tambahan daripada syarikat swasta.