Halaman

23 February 2011

Pusat Pupuk Semangat Teluk Kalong Kampus Kedua TATiUC

Oleh: Aida Abd Rahman



Kampus kedua Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal dibangunkan di kompleks Pusat Pupuk Semangat di Teluk Kalong, Kemaman bagi menampung jumlah kemasukan pelajar ke pusat kemahiran itu yang semakin meningkat setiap tahun.

Seramai 400 pelajar peringkat Sijil dan pelajar kursus pendek lepasan siswazah akan ditempatkan di kampus baru itu kelak.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata pada kemasukan sesi 2010./2011 yang lalu, seramai 780 lepasan SPM dan STPM mendaftar untuk ekmasukan di TATiUC.
Katanya, itu merupakan satu rekod kemasukan paling ramai dalam sejarah 17 tahun penubuhan Tati dan TATiUC.

“Pihak pengurusan mengucapkan berbanyak terima kasih atas segala kerjasama semua pihak menjayakan matlamat TATiUC pada 2010. Kami mengharapkan pada 2011, kemasukan akan bertambah kepada 900 orang yang mana kuota paling maksimum boleh diambil tahun ini kerana kekangan tempat penginapan di kampus,” katanya pada Majlis makan Malam TATiUC Bersama Guru Kaunselor Daerah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dr Mohd Rozailan berkata, pada sesi 2011/2012 akan datang, TATiUC bercadang menawarkan 32 program melibatkan satu program peringkat Sarjana, 11 program Ijazah Muda, 12 program Diploma, dua program peringkat HND dan enam program Sijil.

Katanya, TATiUC juga dalam rancangan menambah kemudahan di kampus utama termasuk membina sebuah perpustakaan dan kediaman baru pelajar yang masing-masing boleh menampung 1,000 pelajar serta sebuah kompleks sukan.

Beliau berkata, kesemua projek baru ini sedang dalam proses rekabentuk oleh pihak arkitek dan akan dimulakan pada tahun ini serta dijangka siap pada 2014.

“Semua pembangunan ini selaras dengan hasrat TATiUC untuk menjadi sebuah universti penuh, iaitu Universiti Kemahiran pada 2015 dan kesemua kemudahan infrastruktur serta peralatan akan disediakan sepenuhnya sebelum 2015,” katanya.




TEGANUKITA