Halaman

14 February 2011

Semua Pelajar Terengganu Tiba di Kampung Sendiri

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali

Semua pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir dijangka tiba di kampung halaman masing-masing, malam ini selepas mengalami pelbagai pengalaman pahit maung berikutan pergolakan di negara itu yang klimaksnya menyaksikan kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Kumpulan terakhir pelajar seramai 96 pelajar yang dibawa dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 9 malam ini.

Selepas itu, mereka akan dibawa ke Kediaman Seri Iman dengan bas milik Yayasan Terengganu (YT) untuk diraikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada majlis makan malam.

Seramai 140 pelajar Terengganu yang dibawa dengan pesawat khas terus dari Lapangan Terbang Jeddah, selama tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 3.30 petang ini.

Ketibaan mereka dengan pesawat Malaysian Airline (MAS), disambut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Timbalannya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Suasana di lapangan terbang tersebut diselubungi pelbagai suasana terharu dan gembira ahli keluarga serta sanak saudara para pelajar yang menunggu ketibaan mereka seawal jam 2.30 petang.

Kaum keluarga memanjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana anak kesayangan pulang tanpa sebarang kecederaan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri melahirkan kesyukuran kerana semua pelajar Terengganu selamat tiba ke kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan di Mesir walaupun kini suasana dikatakan agak tenang berikutan keputusan Mubarak meletakkan jawatan.

“Walupun Mubarak meletakkan jawatan, kita tidak tahu bagaimana keadaan negara itu dalam tempoh terdekat kerana kita difahamkan negara itu kini diletakkan di bawah pemerintahan tentera,” katanya.

TEGANUKITA