Halaman

22 February 2011

Stadium Sultan Mizan Tunggu Siasatan Teknikal JKR

Oleh: Aida Abd Rahman


Imbas kembali kerja-kerja membersih stadium yang runtuh dan kini menunggu siasatan teknikal daripada JKR sebelum diserahkan kepada kerejaan negeri.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak masih menunggu siasatan teknikal daripada Jabatan kerja raya (JKR) sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.

Kerajaan negeri akan membuat keputusan lanjut selepas menerima siasatan lengkap berkenaan sama ada stadium itu boleh digunakan atau sebaliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi mamat, berkata pihaknya sudah mengarahkan kerja-kerja pembersihan dan memindahkan runtuhan bangunan itu dijalankan segera. Bagaimanapun, sebahagian besar bahagian stadium berkenaan masih boleh digunakan.

“Baru-baru ini saya sudah arahkan kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu supaya bersihkan padang (di stadium) itu. Insya-Allah jika sesuai dan tiada masalah kita akan gunakan padang itu,“katanya ketika ditemui dalam satu majlis, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Struktur sebahagian bumbung stadium yang digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu runtuh pada 2 Jun 2009, kira-kira jam 9 pagi. Runtuhan melibatkan bahagian depan, kiri dan kanan stadium.

Menurut laporan sebelum itu, kegagalan pihak yang dilantik membina SSMZA mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak menjadi punca bumbung stadium berkenaan runtuh, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh. Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk menjadi tuan rumah Sukma 2008.


TEGANUKITA