Halaman

21 February 2011

STPM –Terengganu Kekal Nombor Satu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Razali Daud (gambar kecil) ketika membuat sidang akhbar mengenai keputusan STPM 2010 di mana Terengganu masih mengekal negeri terbaik seluruh Malaysia.

Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 yang diumumkan di seluruh negara hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata berdasarkan laporan awal yang diperolehi beliau, Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan terbaik STPM bagi seluruh negara kali ketiga berturut-turut, pada tahun ini.

Beliau berkata, bagi peperiksaan STPM 2009 hanya lapan pelajar mendapat PNGK 4, tetapi pada tahun lalu 12 orang mendapat PNGK 4 dan 22 sekolah mendapat kelulusan 100 peratus.

“Memandangkan Terengganu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan STPM, kerajaan negeri akan menghantar 30 guru besar atau penolong kanan dari sekolah yang ada pelajar mengambil STPM ke luar negara, sebagai hadiah galakan,” katanya.

Beliau berkata, 50 guru besar dan penolong kanan dari sekolah yang mendapat keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR) tahun lepas juga akan dihantar ke luar negara.

“Setakat ini kerajaan negeri memutuskan untuk menghantar 110 guru besar atau penolong kanan ke luar negara kerana kecemerlangan pelajaran,” ujar beliau.

Sebelum ini kerajaan negeri menghantar guru besar dan pengetua dari sekolah yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM bagi menghargai jasa-jasa mereka membantu meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.

Menteri Besar berkata, jika Terengganu mengekalkan tempat pertama bagi keputusan SPM yang akan diumumkan dua hari lagi, 30 guru lagi akan dihantar ke luar negara, menjadikan jumlahnya 140 orang.

TEGANUKITA