Halaman

21 February 2011

STPM Terengganu Terus Meningkat

Oleh: Suriati Ali

Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 bagi negeri Terengganu, terus mencatatkan peningkatan membanggakan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) memperoleh 2.49 peratus berbanding 2.38 peratus bagi tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, berkata lebih membanggakan seramai 12 pelajar mencapai PNGK 4.00 berbanding hanya lapan pelajar bagi tahun2009.

“Pencapaian calon yang mendapat 5 prinsipal meningkat sebanyak 0.26 peratus kepada 8.70 peratus bagi tahun 2010 berbanding 8.44 peratus pada 2009. Manakala calon yang mendapat 4 prinsipal meningkat 1.90 peratus (44.06 peratus pada 2010 manakala 2009 pula 42.16 peratus).

“Pencapaian lulus penuh turut menunjukkan peningkatan sebanyak 1.10 peratus daripada 97.09 peratus berbanding 42.16 peratus pada 2009,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2010 di pejabatnya, di JPNT hari ini.

Encik Razali berkata, daripada 18 matapelajaran yang diambil pelajar, 10 subjek iaitu Kesusasteraan Melayu, Sains Sukan,Seni Visual, Komputer, Matematik Tambahan, Syariah, Pengajian Perniagaan, Bahasa Malaysia, Pengajian Am dan Kimia menunjukkan peningkatan dan lulus penuh.

“Sebanyak 52 sekolah telah menduduki STPM tahun lalu dan 11 sekolah telah mencapai kecemerlangan PNGK lebih atau sama dengan sasaran 2.67.

“Antara sekolah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemaman memperoleh PNGK sebanyak 2.91; SMK Bukit Payong, Besut (2.87); SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu (2.85); SMK Cheneh Baru, Kemaman (2.83); SMK Nurul Ittifaq, Besut (2.80) dan SMK Durian Guling, Marang memperoleh 2.78,” katanya.

Calon terbaik negeri yang mendapat PNGK 4.00 adalah Nik Muhammad Afiq Mohamad Nasrudin dari SMK Putra Jerteh dan Aisyah Faizah Zaki (SMK Maarif, Besut) masing-masing memperoleh keputusan 4A 1A-.

“Manakala Nursyarihah Mohd Hasry dari SMK Ibrahim Fikri berjaya mendapat 4A 1B+; Nazhirah Mohd Zaki, pelajar SMK Tengku Lela Segara, Marang memperoleh 4A 1B-,” katanya.

Beliau yang merakamkan rasa bangga dengan keputusan itu, turut mengucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru dan ibu bapa yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga semata-mata ingin melihat kejayaan pelajar dan kualiti pendidikan negeri.


TEGANUKITA