Halaman

20 February 2011

Tapak Rumah Kini Milik Generasi Kedua

Oleh: Shahrir Hamid

Peneroka generasi kedua Felda Belara boleh menarik nafas lega apabila, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri memberitahu isu pemilikan tanah tapak rumah di Bukit Perah dan Batu 20, Tepoh yang tergendala hampir 20 tahun kini dalam proses pindah milik.

“ Kita menyedari generasi kedua Felda Belara menunggu lama bagi mendapatkan hak milik tanah di Bukit Perah dan Batu 20 yang diteroka oleh generasi pertama Felda Belara. Perkara ini telah dipersetujui oleh pejabat daerah dan kita hanya menunggu masa sesuai untuk mengusulkan kepada mesyuarat exco dalam masa terdekat”, jelas Dato’ Nasir ketika memberitahu wartawan unit komunikasi negeri.

Pemindahan milik tanah rentitan perlu melalui banyak proses dalam memastikan pembahagian tanah berlaku dengan adil. Menurut Dato’ Haji Nasir, keadaan ini akan terjejas sekiranya pertindihan nama pada dua kawasan berbeza dan mengakibatkan pemilikan berganda.

“Sekiranya nama generasi kedua terdapat dalam senarai nama kawasan Bukit Perah, secara automatik tapak rumah di Batu 20 akan diberikan kepada ahli keluarga yang lain dan Insya Allah isu ini akan cuba diselesaikan dalam masa dua tahun”, ulas Dato’ Haji Nasir lagi.

Kini terdapat 165 nama di Bukit Perah dan 65 nama di Batu 20 dalam kawasan Felda Belara yang merupakan salah satu Felda Bandaraya di Malaysia. Penama hanya perlu membayar 10% harga premium daripada harga nilaian tanah bagi mendapatkan tapak rumah itu.

Dato’ Haji Nasir menjelaskan perkara tersebut dalam Majlis Perhimpunan Rapat dan Mesra Peneroka dan Generasi Kedua Komuniti Peringkat Felda Belara Bersama YB di Dewan Sivik Felda Belara pada Khamis (17 Februari) lepas.

Hadir sama memeriahkan majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Haji Nuh.

Pada masa yang sama, YB Ramli menegaskan perjuangan bagi membuka kawasan penempatan baru di kawasan berhampiran Felda Belara akan tetap diteruskan dalam usaha melahirkan lebih ramai peneroka di samping meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat Melayu.

TEGANUKITA