Halaman

10 February 2011

TATiUC Tawar Kepakaran Kepada Negara Jiran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kolej Universiti Tati (TATiUC) melangkah setapak lagi dengan menawarkan perkhidmatan profesional universiti kemahiran penuh itu dalam kepakaran Ujian Tanpa Musnah (NDT) kepada syarikat luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi ,Sains,Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerjasama dengan negara jiran, Indonesia itu mampu mencapai hasrat memenuhi permintaan industri antara kedua-dua negara.

“Ruane-TATI yang sudah dikenali umum dalam dan luar negara semenjak tahun 1996 lagi sebagai sebuah pusat yang melahirkan pakar-pakar NDT, sudah semestinya bersedia untuk melangkah lebih jauh dengan menawarkan perkhidmatan profesionalnya kepada negara luar yang memerlukan khidmat kepakaran kita,” kata beliau di majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Ruane-TATI dan Indonesian Institute of NDT (IINDT) berlangsung di Hotel Harmoni One, Kota Batam, Indonesia, pada 28 Januari lalu.

Turut hadir, Rektor TATiUC, Dr. Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim; Pengurus Besar Ruane-TATI Encik Mohd Ali bin Mohamad, Pengarah IINDT Bapak Berry Wiraprima dan Pengurus Besar UT Quality, Batam Mr. Tim Polinelli .

Haji Ahmad Razif berharap kerjasama itu akan dapat diteruskan untuk jangkamasa yang panjang memandangkan ia bermanfaat dan menguntungkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, Mr. Tim Polinelli berkata, syarikat NDT sentiasa berharap untuk menaiktaraf pekerja beliau kepada satu kualiti sijil profesional tahap tinggi iaitu PCN (Personel Certificate in Non-Destructive Testing) yang diiktiraf oleh BINDT dan kebanyakan negara di dunia.

Beliau berkata, setakat ini syarikat UT Quality menghantar lebih daripada 5 pekerja ke IINDT sejak bekerjasama dengan Ruane-TATI dan akan terus menghantar untuk jangkamasa akan datang.

MoU antara kedua-dua pihak berkenaan turut meminta Ruane-TATI memastikan Latihan dan Peperiksaan berjalan dengan lancar di IINDT dengan menghantar tenaga pengajar dan pemeriksa yang bertauliah, selain mendapat pengiktirafan daripada British Institute of Non-Destructive Testing (BINDT) manakala pihak IINDT pula akan melakukan kerja-kerja pemasaran dan menyediakan semua kelas, peralatan dan kebajikan pelajar.

TEGANUKITA