Halaman

08 February 2011

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) taja 60,000 akhbar

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Dato' Rosli Mat Hassan bersalaman dengan Tan Sri Hashim semasa majlis tajaan Akhbar Utusan Malaysia oleh Yayasan Pelajaran Mara di Hotel Primula Kuala Terengganu.

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menaja 60,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia untuk diedar di wad-wad hospital dan sekolah terpilih di seluruh negeri, sepanjang tahun ini.

Akhbar tersebut akan diedarkan ke wad-wad hospital di negeri Terengganu pada setiap hari untuk bacaan waris yang menunggu pesakit dan para pelajar di sekolah berkenaan.
Pengerusi YPM, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata langkah penajaan itu bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini, khususnya di kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, hasil penyelidikan pihaknya mendapati budaya membaca di kalangan orang Melayu amat kurang berbanding bangsa lain, justeru itu pihaknya mengambil inisiatif menaja akhbar tersebut sebagai bahan bacaan.

“Kita harap budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini akan ditingkatkan, seterusnya dapat mewujudkan masyarakat yang ilmiah dan berpengetahuan,” katanya pada majlis penyerahan cek bagi membiayai penajaan akhbar berkenaan di Hotel Primula Beach, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan cek tajaan bernilai RM60,000 kepada Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Tan Sri Muhamad Hashim Ahmad Makarudin.

Sementara itu, Tan Sri Muhamad Hashim berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil YPM menaja akhbar untuk diedar di wad hospital dan sekolah kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

Beliau berkata, dengan adanya bahan bacaan tersebut waris pesakit dapat memenuhi masa lapang mereka dengan membaca dan menambah pengetahuan dalam pelbagai bidang.

TEGANUKITA