Halaman

28 February 2011

YT Tunggu Arahan Kerajaan Hantar Pelajar Pulang Ke Mesir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Yayasan Terengganu (YT) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk menghantar semula semua pelajar tajaannya ke Mesir walaupun sebahagian besar universiti di negara berkenaan dilaporkan akan memulakan pengajian mereka mulai 12 Mac depan.
Pengarah YT, Haji Aziz Mamat memberitahu Teganukita hari ini, bahawa pihaknya menunggu arahan lanjut kerajaan negeri berhubung perkara itu, termasuk tarikh penghantaran pulang pelajar dan kos penerbangan balik ke negara berkenaan.

“Kita masih belum membuat keputusan bila pelajar dihantar semula ke Mesir, tetapi pihak kami bersiap sedia untuk tujuan itu,” katanya.

YT menaja 247 pelajar dari seluruh negeri menuntut dalam pelbagai bidang di beberapa universiti di Mesir, tetapi mereka dibawa pulang ke tanah air bulan lalu selepas negara tersebut bergolak akibat kebangkitan rakyat yang mahu mengguling Presiden Hosni Mubarak.

Daripada jumlah itu, 95 pelajar menuntut di Universiti al-Azhar, Universiti Mansurah (44 orang), Universiti Mansurah-Manchester (35 orang) dan Universiti Ain Sham (34 orang). Kebanyakan mereka mengambil bidang Pengajian Islam, Perubatan dan Pergigian.

Bilangan selebihnya menuntut di beberapa universiti lain di negara berkenaan yang kini dilaporkan semakin stabil selepas pengunduran Hosni Mubarak.

Haji Aziz berkata, pihaknya yakin Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, akan membuat keputusan mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.