Halaman

01 March 2011

3 ribu peserta sertai seminar

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 3,000 ahli-ahli Jawatakuasa Kemajuaan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk pengerusi seluruh Kuala Terengganu hadir menyertai Seminar Pemantapan Kepimpinan anjuran Yayasan Pembangunan Ihsan Malaysia (YPIM) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Tiga modul bertajuk Realiti Umat Melayu Islam Masa Kini; Survival Menuju Kemerdekaan serta Bangun Runtuhnya Tamadun dan Empayar Besar dibentang fasilitator (YPI) berpengalaman dalam seminar sehari itu.

Kaedah penyampaian modul cukup berlainan kerana sentiasa menggunakan latar belakang muzik Islam, peserta turut diminta bersama-sama menyampaikan lagu nasyid dan menggunakan pelbagai persembahan gambar.

Pendekatan itu nyata menarik minat peserta untuk mendengar amanat setiap fasilitator walaupun program berlarutan sehingga ke petang.

Ketua Pegawai Eksekutif YPIM, Encik Abd Aziz Abdullah, berkata seminar ini diadakan secara berperingkat mengikut negeri membabitkan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan persatuan.

Katanya, pihaknya menjangkakan lebih 50,000 individu terutama kaum Melayu Islam mendapat manfaat daripada seminar yang dianjurkan ini.

“Pelbagai pengisian yang disampaikan dalam program ini termasuk memperkukuhkan barisan pimpinan peringkat kampung, kaedah memperkukuhkan Ummah dan melahirkan generasi cemerlang,” katanya.