Halaman

20 March 2011

Anugerah Umrah Kerajaan negeri mengundang sebak di dada

Oleh: Esah Abdullah


Jemaah yang mencatat sejarah negeri dan negara melalui penerbang terus Umrah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jeddah.

Anugerah Umrah kerajaan negeri mengandungi seribu satu keistimewaan yang tersirat mengundang sebak 451 insan terpilih menyertai rombongan yang mencatat sejarah negeri dan negara melalui penerbang terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jedah.

Suasana bertukar sepi apabila Pegawai Agama Istana Terengganu, Ustaz Shukri Ali membaca doa yang sesekali tersekat dikerongkong kerana menahan rasa sebak, memohon restu Allah swt menerima tetamu kerdilnya yang penuh kekilafan dan berpalit dosa.

Imam Besar Masjid negeri, Ustaz Haji Aizi Saidi Abdul Aziz melahirkan rasa terharu dengan usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang telah menganugerahkan sesuatu yang istimewa kepada rakyat di negeri.

katanya, anugerah umrah kepada rakyat merupakan suatu pembaharuan di bawah pentadbirannya dan dihargai pelbagai golongan masyarakat di negeri ini.

“Usaha dan pengorbanan kerajaan ini begitu besar dan satu kejayaan amat membanggakan bagi semua rakyat, moga Allah SWT memberkati dan mempermudahkan segala amalan jemaah,” katanya yang turut serta bersama kedua ibu bapa dan ibu mentua untuk mengerjakan umrah.



Bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Fatimah Hamat, berharap apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini membuka mata semua pihak melihat usaha murni kerajaan hari ini untuk kebaikan bersama.

Beliau adalah antara 451 orang yang menyertai rombongan Anugerah Umrah kerajaan negeri beserta ketua-ketua wanita setiap bahagian melahirkan rasa bangga dan berharap perkara yang sama dirasai oleh semua rakyat di negeri ini.

Apa yang diakukan kerajaan adalah untuk mempermudahkan seluruh rakyat di negeri ini dan berharap ini bukanlah penerbangan pertama sebaliknya akan menyusul penerbangan seterusnya untuk memberi peluang semua lapisan masyarakat pergi ke tanah suci Makah.

Sementara itu, bagi syarikat Rahyhar Travel Sdn Bhd yang diberi tanggung jawab mengendalikan pengurusan membawa jemaah umrah ini berterima kasih kepada kerajaan negeri yang mengambil pendekatan memudahkan urusan rakyat negeri untuk pergi membuat umrah ke tanah suci.

Pengarahnya, Haji Zakaria Ahammu berkata, apa yang dilakukan kerajaan negeri begitu besar maknannya dan jalinan kerjasama dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memberi impak besar kepada penggunaan kemudahan yang ada di LTSM itu sendiri.

Beliau yang berpengalaman 20 tahun mengendalikan jemaah haji dan umrah dan kali ini kouta diberi membawa 130 jemaah menganggapkan inisiatif baik kerajaan negeri ini diteruskan sekali gus menjadikan LTSM ini sebagai hab umrah bagi rakyat di Pantai Timur.