Halaman

22 March 2011

Kekal berumah tangga selepas jalani terapi `second honeymoon’

Oleh: Aida Abd Rahman

Program terapi pengukuhan institusi kekeluargaan yang dikenali sebagai `second honeymoon’ memberi kesan positif apabila sebahagian peserta yang dipilih kerana mengalami masalah rumah tangga, kini mampu meneruskan kehidupan berumah tangga dengan baik selepas mengikuti program tiga hari dua malam itu.

Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) merintis program itu sejak tahun lalu dengan melaksanakan lima siri melibatkan 20 pasangan suami isteri setiap siri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan membelanjakan RM17,000 setiap siri bagi memastikan peserta mendapat manfaat sekaligus mempraktikkan apa yang sudah mereka pelajari menerusi program itu.

Katanya, sebahagian peserta diperolehi daripada senarai pasangan yang berdaftar di bawah khidmat kaunseling di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT).

“Sebahagian daripada pasangan mereka yang ada masalah rumah tangga dan sedang mendapatkan kaunseling bagi mencapai kata sepakat dan membina kehidupan yang lebih baik. Manakala selebihnya adalah di kalangan pasangan yang dipilih oleh pihak penganjur dan tidak semestinya mereka ada masalah rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan adalah mereka yang masih di fasa baru berumah tangga dan usia perkahwinan tidak lebih daripada lima tahun.

Katanya, ada juga peserta yang sudah berkahwin lebih daripada lima tahun namun lazimnya mereka berusia tidak lebih daripada 40 tahun dan berminat selain mampu memberi komitmen bagi menjalani program itu.

YB Yahya berkata, melihat keberkesanan program itu, kerajaan negeri akan meneruskan lagi pada tahun ini dengan mengekalkan lima siri yang dijalankan secara berperingkat-peringkat di pusat peranginan dalam negeri.

“Kita memilih pulau bagi melaksanakan program ini kerana suasananya yang damai, tenang dan sesuai untuk memulihkan keadaan pasangan supaya mampu berfikir dengan baik tanpa gangguan pihak luar. Pada masa yang sama, kita menyediakan beberapa aktiviti dan slot berguna kepada mereka dengan diawasi urusetia bertugas,” katanya.

Beliau berkata, selain second honeymoon, program lainnya adalah Keluarga Syurgaku, Ibu Sejati dan Parenting@Work yang menekankan nilai-nilai kecemerlangan kepada pasangan muda supaya kehidupan generasi akan datang lebih terarah serta mengikut acuan sebenar.

Untuk rekod, statistik perkahwinan di Terengganu bagi tahun 2004 sehingga pertengahan 2008 menunjukkan sejumlah 33,533 pasangan berkahwin telah didaftarkan. Daripada jumlah itu, seramai 5,365 jumlah pasangan telah bercerai.

Katanya, walaupun dilihat berlaku pertambahan dari segi kesedaran pasangan untuk berkahwin, peratusan penceraian juga dikenalpasti bertambah dari tahun ke tahun.

Situasi ini mewujudkan satu keadaan yang kurang baik di mana kesan pertambahan kadar penceraian telah menimbulkan banyak permasalahan sosial di kalangan masyarakat seperti isu kemiskinan, pendidikan, gejala sosial dan emosi anak-anak.