Halaman

08 March 2011

Bukti Rakyat Terima Kepimpinan Perdana Menteri- MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau membuktikan rakyat sudah menerima kewibawaan dan konsep 1Malaysia yang diserapkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian sebagai mengulas kemenangan BN dalam dalam kedua-dua PRK itu, ketika sidang media sejurus mengagihkan e-Book di DUN Batu Buruk, di Dewan Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam (7 Mac).
“PRK di Kerdau dan Merlimau sudahpun membuktikan BN memperolehi majoriti yang lebih tinggi berbanding dengan majoriti (Pilihan Raya Umum) 2004.

"Ini menggambarkan bahawa rakyat menerima kepimpinan Perdana Menteri dalam memimpin negara, khususnya dalam menangani masalah ekonomi dan pembangunan yang berterusan dilaksanakan oleh Umno dan BN,” katanya.

Selain itu, katanya kemenangan itu juga disebabkan kesedaran rakyat untuk keluar mengundi juga meningkat, selain jentera BN yang terdiri daripada pelbagai komponen parti itu yang bekerja kuat dan mengerah tenaga untuk memastikan peratusan keluar mengundi bertambah.

Beliau berkata, tohmahan yang dilakukan pembangkang juga tidak menjejaskan BN meraih undi terutama di kawasan pedalaman apatah lagi di kawasan Felda, kerana masyarakat Felda masih terhutang budi kepada kerajaan BN dan Umno yang bertanggungjawab membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan untuk menikmati hidup selesa kini.

Katanya, hari ini peneroka Felda menikmati pendapatan lumayan hasil usaha kerajaan membangunkan tanah untuk ladang getah dan kelapa sawit .

“Isu kenaikan barang juga tidak memberi kesan, kerana rakyat sedar dan menerima hakikat bahawa kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan harga minyak dan barang keluaran akibat permintaan semakin meningkat berbanding pengeluaran makanan yang semakin berkurangan,”katanya.

Pada masa yang sama, faktor penawaran dan permintaan itu turut memberi kesan kepada peningkatan harga barang komoditi terutama getah yang memberi keuntungan berganda kepada peneroka dan pengusaha tanaman itu.