Halaman

05 March 2011

Dua Pegawai Kumpulan A Antara Kakitangan Diisytihar Muflis

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua kakitangan Kumpulan A dikesan antara tujuh kakitangan awam di negeri ini yang diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia akibat menjadi penjamin kepada peminjam yang gagal melunaskan hutang sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata kesemua kakitangan yang didapati muflis itu masih dibenarkan berkhidmat di sektor awam, bagaimanapun mereka tidak ditempatkan di bahagian berkaitan kewangan.
“Semua kakitangan termasuk dua pegawai berkenaan masih bekerja seperti biasa. Cuma mereka tidak ditugaskan berada di bahagian yang berkaitan dengan kewangan. Kalau tidak bekerja, mereka pasti sukar menjelaskan hutang berkenaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Keluarga Kelab Wisma Darul Iman, di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini (5 Mac) .

Dato’ Mazlan menasihatkan kakitangan awam di negeri ini lebih bijak dan mengenali pihak yang mahu dijamin itu , supaya tidak timbul masalah terpaksa menanggung bebanan hutang dan disenaraihitamkan pihak kewangan kelak.

Katanya, mereka perlu betul-betul mengenali rapat dengan pihak peminjam dan tidak membuat keputusan sembarangan.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan supaya ketua jabatan di negeri ini lebih peka dan tidak meluluskan permohonan pinjaman kakitangan mereka dengan sewenang-wenangnya sahaja tanpa mengambil kira status pendapatan dan keupayaan kakitangan membayar balik pinjaman.

“Biasanya kita tidak benarkan kakitangan membuat pinjaman tidak lebih daripada 60 peratus pendapatan yang dibawa balik itu atau `take home pay’. Bagaimanapun, kita tidak menolak kebanyakan mereka menggunakan `kaedah lain’ bagi membolehkan mereka memperolehi pinjaman tertentu,” katanya lagi.

Katanya, kes kegagalan membayar pinjaman atau hutang di kalangan kakitangan awam di negeri ini tidak terlalu serius. Bagaimanapun, beliau tidak menolak banyak kes hutang menerusi kad kredit kerana kaedah itu tidak terikat dengan pelbagai syarat dan perjanjian, sebaliknya boleh memohon dengan mudah.