Halaman

08 March 2011

E-Book RM1,000 Seunit Untuk 23,000 Murid

Oleh: Esah Abdullah


Murid Tahun LIma DUN Tepoh menunjukkan e-Book yang diperolehi kepada ayahnya. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Kerajaan Terengganu satu-satunya negeri yang membelanjakan RM1,000 untuk setiap murid Tahun Lima bagi menyediakan e-Book.

Pada tahun ini, seramai 23,000 murid Tahun Lima seluruh negeri menerima alat bantuan belajar itu yang mula diagihkan sejak dua tahun lalu.
“Mana ada kerajaan dalam dunia ni yang begitu cakna kepada rakyat sampai sanggup belanja berpuluh juta untuk memastikan kecermerlangan pelajaran anak bangsanya,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Peneranan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh.

Katanya, pemberian ini satu rahmat besar kepada pelajar dan juga ibu bapa untuk meningkatkan sistem pembelajaran menggunakan teknologi maklumat (IT)dalam usaha kerajaan memberi yang terbaik kepada rakyat.

“Kita semua perlu bersyukur kepada Allah s.wt. kerana melimpahkan rezeki kepada kerajaan dan membolehkan semua rakyat merasai nikmatnya,” katanya di majlis Penyerahan e-Book kepada pelajar Tahun Lima bagi DUN Tepoh, di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Air, petang semalam (7 Mac).

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Maklumat ICT, Pejabat Pelajaran negeri (JPN) Encik Nasir Ismail dan Guru Besar SK Padang Air, Hajah Noraini Mohamad serta 513 pelajar Tahun 5 dari enam buah sekolah dalam DUN Tepoh.

Haji Muhammad Ramli kemudiannya meminta ibu bapa sentiasa memantau anak-anak mereka di rumah agar menggunakan kemudahan e-Book ini untuk mengulangkaji pelajaran dan bukan bermain `game’.

“Kita bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar kita hari ini yang mampu melonjakkan nama negeri dalam bidang pendidikan, ini hasil kepekaan dan kesedaran semua termasuk pelajar, ibu bapa, guru dan kerajaan yang membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan,” katanya.