Halaman

01 March 2011

Imam perlu latihan sebelum baca khutbah

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Imam-imam di negeri ini diminta supaya membaca isi kandungan khutbah terlebih dahulu sebelum menyampaikan kepada jemaah pada hari Jumaat, agar ia dapat disampaikan dengan lebih lancar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jika bacaan khutbah disampaikan dalam keadaan kurang lancar, para jemaah tidak dapat menghayati kandungannya dan kadangkala sebahagian besar jemaah tidak khusyuk dan mengantuk ketika khutbah dibacakan.

Beliau berkata, jika keadaan itu berlaku hasrat pihak berkuasa untuk menyampaikan pelbagai maklumat dan penerangan kepada rakyat melalui khutbah tidak akan tercapai kerana ia kurang mendapat perhatian jemaah.

“Biasanya khutbah Jumaat diedar ke masjid-masjid lebih awal, jadi eloklah imam-imam baca dulu kandungan khutbah ini sebelum disampaikan kepada jemaah masjid,” katanya ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif : Multaqa YAB Menteri Besar bersama Imam dan Bilal di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam hari ini.

Menurutnya, ada sesetengah imam tidak meneliti langsung khutbah yang diberikan kepada mereka, hinggalah pada hari Jumaat dan mereka membacanya dalam keadaan tidak lancar.

Lebih menyedihkan ada imam yang salah menyebut perkataan tertentu, khususnya yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris atau terma-terma tertentu seperti H1N1.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar turut meminta imam dan bilal mengadakan program pengimarahan masjid yang turut memberi tumpuan kepada usaha menarik golongan muda ke tempat ibadat itu.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana kehadiran golongan muda ke masjid secara tidak langsung boleh menghindarkan mereka daripada terjerumus dalam kegiatan yang boleh merosakkan masa depan mereka serta merugikan negara.

“Dalam hal ini, imam dan bilal serta jawatankuasa masjid boleh menggunakan sebahagian daripada tabung masjid untuk menjalankan program-program pengimarahan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri sendiri sedia membantu menjayakan pelbagai program pengimarahan masjid bagi memastikan kedatangan jemaah terus bertambah,” ujar beliau.