Halaman

28 March 2011

Jelapang padi baru tampung keperluan penduduk

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan Negeri akan membuka jelapang padi baru pada tahun 2013, selepas semua kawasan jelapang padi yang dirancang di Kampung Mak Jintan, Setiu, sudah ditanam dengan tanaman padi. - Foto: Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri akan mewujudkan jelapang padi baru di daerah Marang membabitkan kawasan seluas 600 hektar bagi menampung keperluan penduduk negeri ini.

Tanah yang sesuai bagi tujuan itu sudah dikenalpasti dan pihak berkenaan diarah menentukan kos bagi membolehkan kerja-kerja menyediakan prasarana dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jelapang padi baru akan mula dibuka pada tahun 2013, selepas semua kawasan jelapang padi yang dirancang di Kampung Mak Jintan, Setiu, sudah ditanam dengan tanaman padi yang menjadi makanan asasi penduduk tempatan.

Beliau berkata, sehingga ini 400 hektar daripada tanah seluas 600 hektar yang dirancang untuk ditanam padi di Jelapang Padi Setiu, sudah ditanam dan mula mengeluarkan hasil 3.5 metrik tan hingga 4 metrik tan bagi setiap hektar.

“Kita jangkakan setelah jelapang padi baru di kawasan Jenang, Marang ini dibuka, tanaman padi di seluruh negeri ini akan mampu menampung keperluan penduduk tempatan,” katanya pada sidang media selepas majlis pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 5 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, hari ini.

Jelapang padi Setiu yang dirancang bagi menambah bekalan beras di negeri ini, dimulakan pada 1 Mei 2009 apabila kerja-kerja menabur benih dimulakan di mana pada peringkat awal ia hanya membabitkan 78 peserta dengan keluasan tanah 73 hektar.

Menteri Besar hadir sendiri ke Kampung Mak Jintan beberapa bulan selepas itu apabila padi mula menguning, untuk menuai hasil pertama menggunakan jentera penuai padi moden.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM48 juta bagi menyediakan pelbagai prasarana di kawasan Jelapang Padi Setiu, termasuk pembinaan saliran lain bagi membolehkan petani menanam padi dua kali setahun.

Dato’ Ahmad berkata, selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menentukan kos pembinaan prasarana di kawasan jelapang padi baru itu, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan yang sesuai, bagi melaksanakan segera projek berkenaan.

Projek jelapang padi di Setiu menggunakan modul tanaman padi di Sekinchan, Selangor, yang merupakan kawasan pengeluaran padi utama negara dan hasilnya lebih tinggi berbanding daerah lain seluruh negara.