Halaman

07 March 2011

JPNT bakal tubuh 40 prasekolah baru

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dijangka dapat menubuhkan sebanyak 40 tadika atau pra sekolah baru pada tahun ini, termasuk di kawasan pendalaman dan perkampungan Orang Asli.

Pengarah jabatan itu, Encik Razali Daud berkata, sasaran itu sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan ke arah meningkatkan penyertaan pelbagai pihak dalam usaha menubuhkan tadika baru sekaligus meningkatkan mutu pendidikan di kalangan kanak-kanak.

“Daripada jumlah 40 tadika, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya lima tadika di setiap daerah akan ditubuhkan secara berperingkat-peringkat sehingga akhir tahun ini.

“Untuk tujuan itu, seramai 200 tenaga pengajar akan mengikuti latihan dan kursus di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) ,” katanya.

Menurutnya, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada empat sub NKRA Pendidikan untuk meluas akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan antaranya termasuk pra sekolah dan tadika swasta.

“Kerajaan berusaha meningkatkan kadar penyertaaan kanak-kanak berumur antara lima hingga enam tahun kepada 87 peratus menjelang 2012.

“Sekiranya hasrat itu tercapai ia mampu meningkatkan kualiti pendidikan dengan menjadikan prasekolah, tadika swasta dan agensi lain sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

JPNT meletakkan komitmen yang tinggi untuk menjayakan NKRA dengan melaksanakan alternatif strategik melalui program promosi di seluruh negeri termasuk KPI untuk dicapai.