Halaman

08 March 2011

Kerajaan negeri pantau prestasi pelajar guna Portal ‘Fokus A’ EBSIS2Y

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


YB Ahmad Razif di majlis penyampaian Portal ‘Fokus A’ EBSIS2Y yang disumbangkan Puteri Umno Malaysia, bagi meningkatkan prestasi pembelajaran mereka. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Seramai 70 pelajar tingkatan lima dari tujuh sekolah menengah di daerah Setiu berpeluang menikmati kemudahan belajar secara ‘online’ menggunakan Portal ‘Fokus A’ EBSIS2Y yang disumbangan Puteri Umno Malaysia, bagi meningkatkan prestasi pembelajaran mereka.

Pergerakan Puteri Umno Malaysia menyerahkan set portal EBSIS2Y kepada pengetua tujuh sekolah terpilih di majlis khas yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, hari ini.

Tujuh sekolah itu ialah SMK Chalok, SMK Guntung, SMK Langkap, SMK Penarek, SMK Putera Jaya, SMK Saujana dan SMK Tengku Ibrahim.

Program itu merupakan kesinambungan daripada majlis pelancarannya yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhir tahun lalu. Terengganu merupakan negeri kedua menerima set portal berkenaan selepas Perak.

Sebanyak 35 set portal yang setiap satu bernilai RM795 akan diberi kepada pelajar di mana setiap set akan dikongsi oleh dua pelajar yang berpontensi meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi kurang mampu membeli alat bantuan belajar.

Seorang ahli Pergerakan Puteri yang mempunyai kemahiran ICT ditugaskan untuk memantau setiap set portal bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar berkaitan penggunaannya.



Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Haji Abd Halim Jusoh; Ahli Exco Puteri, Wan Salwati Abdullah dan Ketua Puteri Terengganu, Puan Asfalinda Anuar, turut hadir di majlis itu.

Haji Ahmad Razif merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pergerakan Puteri Umno kerana memberi kemudahan pembelajaran secara ‘online’ kepada pelajar tingkatan lima di negeri ini yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau perkembangan para pelajar yang menerima kemudahan tersebut dan ia akan diperluaskan kepada pelajar lain jika ia terbukti mampu meningkatkan prestasi pembelajaran pelajar.

“Kerajaan negeri sedia menambah keperluan kepada para pelajar jika ia terbukti memberi manfaat kepada mereka kerana pendidikan menjadi agenda utama kerajaan,” ujarnya.

Nota : Excellent, Brilliant, Successful, Intelligent, Smart, Youth dan Young (EBSIS2Y)