Halaman

24 March 2011

Kos RM29.5 juta untuk kecantikan dan kebersihan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri cukup prihatin mengenai kebersihan, kecantikan dan pembangunan bandar serta luar bandar di Terengganu apabila menyediakan peruntukan RM29.5 juta bagi tujuan itu tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, kos itu meliputi kontrak-kontrak kebersihan dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pembersihan pulau-pulau, pertandingan kebersihan dan pembelian tong sampah serta pembekalan pokok teduhan dan hiasan.

Manakala bagi kemudahan infrastruktur dan utiliti yang terancang sebanyak RM24.5 juta diperuntukkan untuk pembinaan dan penyelenggaraan parit serta longkang dalam kawasan PBT dan sistem saliran di Mak Lagam, Kemaman.

“Program ini bertujuan menyelesaikan masalah banjir dan longkang tersumbat yang sering berlaku di musim tengkujuh.

“Bagi memastikan keselamatan awam dan keindahan bandar, kualiti pencahayaan serta landskap pula membabitkan kos RM6 juta, manakala RM3 juta pemasangan kamera litar atau CCTV,” katanya.

Katanya, kerajaan akan membina pasar, rumah kedai, terminal pengangkutan awam, pembaikian pusat-pusat sivik dan dewan majlis serta penyelenggaraan bangunan di seluruh negeri.