Halaman

20 March 2011

MDS turunkan kadar sewa perkedaian Buluh Perindu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Daerah Setiu (MDS) bakal menurunkan kadar sewa hampir 30 peratus kepada peniaga di Perkedaian Buluh Perindu, Setiu bermula bulan ini.

Kadar sewa bagi kawasan baru itu ialah RM500 sebulan berbanding RM650 sebelum ini bagi lot kedai aras bawah, manakala tingkat atas pula RM300 berbanding RM500 sebulan yang dikenakan sebelum ini.

Yang Dipertua MDS, Encik Ishamudin Hashim, berkata pihaknya mengambil tindakan itu kerana mengambil kira kepentingan semua pihak dan tidak mahu membebankan penyewa.

Katanya, bayaran sewa yang ditawarkan MDS sebelum ini agak tinggi sehingga mendorong pekedai mengemukakan rayuan supaya kadar sewa diturunkan.

“Menyedari keadaan itu, kita menurunkan sewa bulanan sebanyak 30 peratus supaya ia tidak membebankan mereka dan slepas ini kita berharap tiada lagi masalah untuk mereka menjelaskan sewa,” katanya.

Katanya, kadar sewa baru itu adalah yang terendah berbanding daerah lain di negeri ini yang ditawarkan kepada penyewa demi kepentingan kedua-dua pihak.

Beliau berkata demikian pada Karnival Sehari Bandar Permaisuri dan Perasmian Perkedaian Buluh Perindu MDS, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, YB Abdul Halim Jusoh. Turut hadir Pegawai Daerah Setiu, Encik Mohd Nor Ibrahim.