Halaman

25 March 2011

Operasi berkas 54 pelajar ponteng

Oleh: Aida Abd Rahman



Operasi Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah berjaya menahan 54 pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 17 tahun yang sedang ponteng di sekitar Kuala Terengganu termasuk kawasan Gong Badak, pagi semalam.

Sebahagian pelajar berkenaan yang lengkap berpakaian sekolah dan sebahagian lagi berpakaian biasa ditahan dalam operasi tiga jam melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah dengan kerjasama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan rakyat Malaysia (Rela) serta Jabatan Kesihatan.
Timbalan Pegawai Pelajaran PPD Kuala Terengganu, Encik Azahar Abu Bakar, berkata operasi itu dilaksanakan secara serentak seluruh negeri bagi memastikan masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar dapat ditangani secara bersepadu dan serius.

Seramai 13 pelajar yang ditahan dari Sekolah menengah kebangsaan (SMK) Gong Badak, SMK Bukit Besar (14), SMK Bukit Tunggal (sembilan), SMK Seri Budiman (tujuh), dua pelajar SMK Panji Alam dan masing-masing tiga pelajar dari SMK Bukit Guntong, SMK Agama Tok Jiring dan SMK Ibrahim Fikri.

Encik Azahar berkata, ketika serbuan sebahagian pelajar berkenaan asyik menyaksikan acara sukan Majlis Sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara.

“Kita menyerbu ke kawasan yang menjadi `port’ pelajar untuk ponteng. Kita juga menahan beberapa pelajar ponteng yang kononnya mahu menyokong rakan yang sedang menyertai acara sukan di kompleks itu, “katanya selepas member taklimat kepada pelajar terbabit serta ibu bapa mereka di Dewan SMK Ibrahim Fikri.

Katanya, hasil operasi itu juga, pihaknya mendapati seorang pelajar lelaki yang ditahan positif dadah selepas melakukan ujan air kencing.