Halaman

28 March 2011

Pas abai golongan belia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek menegaskan golongan belia kini semakin rapat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sudah faham dan sedar bahawa pakatan pembangkang gagal menyumbang perkara yang lebih baik kepada mereka.

Beliau berkata, kejayaan meraih semula sokongan belia jelas terbukti dengan kemenangan BN pada beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini yang turut disokong undi daripada golongan tersebut.

Bercakap kepada wartawan selepas Karnival Belia 1Malaysia peringkat Asajaya di Sarawak, semalam, beliau berkata pilihan raya kecil seluruh negara sejak daripada Batu Sapi, Tenang sampailah ke Kerdau dan Merlimau, semua peti undi belia sudah menunjukkan belia bawah 40 tahun berpihak kepada BN.

“BN telah menunjukkan rekod yang baik dalam menyokong perkembangan dan kemajuan golongan belia khasnya dari segi pendidikan, perkembangan potensi dalam pelbagai aspek kemahiran,” ujar beliau.

Kenyataan Dato’ Ahmad Shabery ini merupakan fakta yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak kerana golongan belia memang terabai semasa Pas memerintah negeri ini dari tahun 1999 hingga 2004.

Pada waktu itu kerajaan negeri tidak menghulurkan sebarang sumbangan kepada golongan belia, persatuan belia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pada masa pemerintahan Pas banyak persatuan belia yang ‘terkubur’ kerana gagal mendapatkan dana bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang.

Keadaan ini jauh berbeza setelah BN menguasai semula pemerintahan negeri ini di mana persatuan belia diberi bantuan kewangan pada setiap tahun bagi menjalankan pelbagai aktiviti.

Tidak cukup dengan itu, sambutan hari belia pula diadakan bagi memberi pengiktirafan terhadap sumbangan golongan berkenaan sama ada secara individu mahu pun persatuan.

Malah, golongan itu turut dapat menjalankan aktiviti sukan dan riadah dengan bantuan diberi daripada kerajaan negeri mahu pun Jabatan Belia dan Sukan.

Justeru itu, Dato’ Ahmad Shabery berkata, beberapa penganjuran program belia oleh BN selama ini jelas mendapat sambutan memberangsangkan dengan lebih banyak penyertaan golongan belia.

Sokongan golongan belia ini amat didambakan oleh BN bagi memastikan ia terus menerajui pemeintahan negeri ini dan negara amnya.